Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang Laporan Strategik MABIMS

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    SINGAPURA, 25 JULAI – Sebagai persediaan awal Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) MABIMS ke-48 pada November nanti, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sekretariat MABIMS telah diadakan di Republik Singapura kelmarin.

    Delegasi Negara Brunei Darussalam dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ke mesyuarat itu diwakili oleh Ketua Bahagian Dasar dan Strategik, Pengiran Anak Dr Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail selaku ketua delegasi; Pemangku Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Dayang Rosyanti binti Haji Lamat dan Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat I, Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Pengiran Muhammad Azrin bin Pengiran Jarail.

    Mesyuarat yang dihadiri oleh wakil-wakil dari empat negara anggota MABIMS iaitu Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura itu dipengerusikan oleh Ibrahim Sawifi dari Sekretariat MABIMS Republik Singapura.

    Menurut kenyataan, tujuan mesyuarat diadakan adalah untuk membincangkan Laporan Pelaksanaan Fokus Strategik di bawah Rancangan Strategik MABIMS 2021-2025 dengan fokus utama termasuk Penghayatan Beragama oleh Republik Indonesia, Kesejahteraan Sosial oleh Malaysia, Potensi Belia oleh Brunei Darussalam dan Keharmonian Serantau oleh Republik Singapura. Dalam mesyuarat itu, Brunei Darussalam turut membentangkan persiapan sebagai tuan rumah SOM MABIMS ke-48 yang dijadualkan pada November depan.

    Kehadiran delegasi Brunei Darussalam menunjukkan komitmen negara dalam menyokong semangat kerjasama MABIMS dan memastikan pelaksanaan program-program yang telah dipersetujui di samping komited untuk memajukan kerjasama antara negara anggota MABIMS dan mencapai matlamat strategik yang telah ditetapkan.

    Pengiran Anak Dr Haji Amiruddin Alam Shah, Dayang Rosyanti dan Pengiran Muhammad Azrin semasa menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sekretariat MABIMS yang diadakan di Republik Singapura. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    GAMBAR SERAHAN KHEU

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda