Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Dengan tujuan membuka perbincangan bagi menerokai sejarah penyelesaian pertikaian di Negara Brunei Darussalam yang dapat dipelajari serta mengkaji cabaran-cabaran di masa akan datang, satu sesi World Cafe telah dianjurkan oleh Pusat Timbang Tara Brunei Darussalam (BDAC) bertempat di pejabat BDAC, kelmarin.
Acara tersebut membolehkan para peserta untuk mengongsikan pandangan dan berinteraksi dengan sebilangan besar individu yang merangkumi pelbagai profesional daripada sektor kerajaan dan swasta berlatar belakang yang berbeza termasuk pengamal undang-undang, siswazah, NGO belia, sektor pembinaan, persatuan-persatuan serta pihak berkepentingan penyelesaian pertikaian.
Dialog terbuka ini akan mencerminkan secara mendalam tentang pengalaman penyelesaian pertikaian kepada setiap individu dan masyarakat secara keseluruhan pada masa yang lalu, kini dan masa depan.
Aliran proses melalui mahkamah (litigasi) merupakan mekanisme penyelesaian pertikaian yang lazim diguna pakai di Negara Brunei Darussalam.
Bagaimanapun, terdapat peningkatan dalam penggunaan kaedah penyelesaian pertikaian secara alternatif, terutamanya melalui kaedah timbang tara (arbitration) dan pengantaraan (mediation). Berasaskan itu, terdapat unsur-unsur perubahan global untuk menggunakan penyelesaian pertikaian secara alternatif selain mahkamah.
BDAC berharap World Cafe berkenaan akan dapat membuka minda dan menerokai idea-idea yang berkaitan dengannya, selain menggalakkan perbincangan terhadap pembangunan dan pengumpulan idea-idea yang berinovatif dan bernas ke arah arus pendanaan mekanisme penyelesaian pertikaian secara alternatif.