Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang peluang pembangunan negara

    Oleh Sim Y.H –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Lebih 200 orang belia telah menyertai Forum Belia Brunei Edisi ke-3 bertemakan Belia Bersatu: Transformsi ke arah Pembangunan yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK40) pada 9 Mac lalu.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada forum anjuran bersama Rangkaian Profesional Muda (YPN) Brunei, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan disokong oleh muBN Learning & Growth Company itu ialah Setiausaha Tetap (Wawasan) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad.

    Forum adalah satu wadah dan platform yang membawa para belia, penggubal dasar dan pemimpin-pemimpin masyarakat dan akar umbi untuk membincangkan pandangan, cabaran dan peluang kepada pembangunan Brunei yang berhasrat bagi menggalakkan penyertaan dan pemerkasaan belia dalam pembangunan ekonomi dan negara.

    Bersempena Sambutan Ulang Tahun HK40, forum itu mengalu-alukan para belia untuk hadir bersama-sama bagi mencapai hasrat Brunei dalam kemajuan dan pembangunan, bertujuan untuk membangkitkan semangat transformasi.

    Para peserta terdiri daripada belia, penuntut, profesional muda, pemimpin akar umbi, ahli NGO, guru-guru, dan pegawai-pegawai kerajaan dan swasta dari keempat-empat buah daerah.

    Antara panel yang hadir pada sesi forum yang diadakan baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN YPN
    Pengiran Hajah Siti Nirmala bergambar ramai bersama panel forum dan peserta pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN YPN

    Forum dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengasas Bersama YPN Brunei, Awang Mohammad Ashmeer bin Imtiaz Ahmad selaku Ketua Projek Forum Belia Brunei di mana beliau menyatakan forum itu bukan sahaja sebuah platform dalam memperkasa suara belia malahan ia adalah sebagai wadah ke arah memberikan peluang kepada golongan belia untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan serta mencari hala tuju bersama dalam membantu membina sebuah negara yang berdaulat, maju dan berdaya tahan.

    Sesi pertama, Together Reimagining Brunei menyaksikan sesi forum terbuka yang mengetengahkan panel terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar; Timbalan Ketua Pegawai Penerangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Yusof Sidek; dan Penganalisis Kewangan dan Ketua Pegawai Eksekutif National Digital Payments Network Sdn Bhd, Hafiz Haslen dengan moderator sesi berkenaan iaitu Peneraju Perhubungan Luar YPN, Fadli M Zaini.

    Manakala itu, sesi kedua, Leaping for Transformation: Bruneian Youth as Highly Skilled, Future Ready Agents of Change menyaksikan sesi forum terbuka yang mengetengahkan panel forum iaitu Associate Consultant, ChangeLeader, Hajah Zainab MA Omar; Pengarah Urusan, Mindtrex Academy & MindPlus Education Sdn Bhd, Pengiran Khairi bin Pengiran Haji Metussin; dan Pengasas Curious Mind, Shaun Hoon dengan moderator bagi sesi berkenaan iaitu seorang sukarelawan YPN, Aimuni Suffian.

    Sesi sebelah petang diisi dengan bengkel bertajuk Empowerment for Change: Transform, Advocate, Act! yang dimudah cara oleh Pengasas muBn Learning and Growth Company, Dr Mona Kassim.

    Forum Belia Brunei juga turut memaparkan dua perkongsian belia daripada Pengasas dan Pengasas Bersama Tebalik Plastik, Jiayih Goh dan Syahmi Zulfadhli @ Mims Sidi, dalam perjalanan transformasi mereka memberikan peluang kedua kepada plastik dan daripada seorang mahasiswi UBD, Madelyn Ling mengenai perjalanan menuju pertumbuhan yang tulen.

    Sesi forum berakhir dengan ringkasan prosiding sepanjang hari yang dibentangkan oleh Ketua Pelapor, Dayang Yura Sri Nur’Ain Qaisara binti Abdullah Yura Saiful Bahrin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda