Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS) di Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini, telah menganjurkan Simposium Antarabangsa mengenai Industri Kreatif dan Budaya (CCI) sebagai platform untuk membincangkan pembangunan dalam CCI di Brunei dan Hong Kong.
Simposium bertajuk ‘Memahami Ekologi Industri Kreatif di Brunei dan Hong Kong’ itu dianjurkan bersama Fakulti Kesenian di Chinese University of Hong Kong (CUHK).
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penolong Naib Canselor Hal Ehwal Akademik UBD, Pengiran Mohd Iskandar bin Pengiran Haji Petra.
Turut hadir ialah Pengerusi Simposium UBD-CUHK, Dr Rui Oliveira Lopes yang turut menyampaikan ucapan alu-aluannya di mana beliau menyentuh kepentingan simposium dan memahami keperluan majikan dan trend pasaran bagi sebagai persiapan bagi tenaga kerja kreatif yang kompeten.
Simposium berkenaan melibatkan ahli-ahli akademik dari kedua-dua buah universiti yang membentangkan pelbagai tajuk termasuk ‘Pembangunan Seni Visual dan Seni Komuniti’, ‘Artis muda baharu di Brunei’ dan ‘Curating and Safeguarding Cultural Identities’ selain mengadakan sesi literasi dan mediascape social.
Acara tersebut dihadiri oleh pihak berkepentingan termasuk pembuat dasar dari pelbagai kementerian seperti Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, industri profesional seperti Creative Space Gallery, Regalblue Production dan Relentless Entertainment serta ahli-ahli akademik dari pelbagai fakulti dan institusi.

