Saturday, July 27, 2024
32.3 C
Brunei

    -

    Bincang pengintegrasian kelestarian dalam amalan perniagaan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Pengintegrasian kelestarian dalam amalan perniagaan telah diketengahkan dan dikongsikan semasa ceramah bertajuk The Green Economy: How Can Business Do Good, Be Sustainable and Still Grow? yang dianjurkan oleh Britain Brunei Business Forum (BBBF) di Hotel Radisson, di sini pada 1 Mei lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluar-kan oleh BBBF, di sini, ceramah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kluster bagi Pasaran ASEAN dan Indonesia di Bank Standard Chartered, Rino Donosepoetro itu dihadiri oleh pemimpin-pemimpin perniagaan, usahawan serta penyokong kelestarian.

    Rino Donosepoetro yang juga merupakan Pengerusi Dewan Perniagaan British Indonesia dan ahli Lembaga Majlis Perniagaan UK-ASEAN menyampaikan ceramah penuh maklumat mengenai integrasi kelestarian dalam amalan perniagaan.

    Beliau turut mengongsikan strategi praktikal dan contoh dunia sebenar bagaimana perniagaan boleh mencapai pertumbuhan lestari.

    Pengerusi BBBF, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim melahirkan perasaan amat gembira atas sambutan positif acara itu dan perbincangan yang dihasilkan daripadanya.

    Beliau berkata bahawa pandangan daripada Rino Donosepoetro mengukuhkan lagi keperluan kelestarian dalam landskap perniagaan hari ini dan menggalakkan para peserta untuk mengambil langkah-langkah proaktif ke arah membina sebuah ekonomi yang peka alam sekitar.

    Sebagai Pengerusi BBBF dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Standard Chatered di Negara Brunei Darussalam, ulas Pengiran Aki Ismasufian, ceramah itu adalah selaras dengan visi bersama mereka iaitu untuk memacu perkembangan dan inovasi, sambil mengutamakan kelestarian bagi memastikan masa depan makmur bagi kedua-dua organisasi dan komuniti global.

    Pengiran Aki Ismasufian dan Rino Donosepoetro bergambar ramai dengan para peserta yang menghadiri ceramah berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BBBF
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...