Friday, March 14, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang pengukuhan, kesepaduan SDG

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan JPM

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Dapatan-dapatan awal daripada Laporan Voluntary National Review (VNR) kedua bagi Brunei Darussalam telah dikongsikan semasa Bengkel Pre-2023 High-Level Political Forum (HLPF) Pembangunan Mampan yang diadakan dua hari, baru-baru ini.

    Bengkel yang diadakan di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu dianjurkan oleh JPM selaku Jawatankuasa Khas Penyelarasan Kebangsaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi Brunei Darussalam.

    Ia dihadiri oleh ahli-ahli dan sekretariat Jawatankuasa Khas Penyelarasan Kebangsaan SDG serta wakil-wakil daripada pihak kerajaan, agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan, ahli akademik, belia dan institusi kewangan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, semasa bengkel itu pelbagai perbincangan diadakan yang memfokuskan kepada langkah ke hadapan bagi menyokong tindakan pasca-VNR kedua. Ia termasuk mengukuhkan ekosistem SDG, ketersediaan data dan tindakan sepadu SDG. Laporan VNR kedua bagi Brunei Darussalam akan dihadapkan ke HLPF 2023 pada Julai depan.

    Bengkel dimulakan dengan ucapan daripada Setiausaha Tetap (Wawasan) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Penyelarasan Kebangsaan SDG, yang merakamkan penghargaan atas dukungan dan komitmen pelbagai pihak berkepentingan dalam menyokong pencapaian negara dalam SDG.

    Beliau seterusnya menggalakkan semua pihak berkepentingan untuk menerokai peluang bagi meningkatkan perkembangan SDG di Brunei Darussalam melalui kerjasama padu dan penyelesaian inovatif ke arah masa depan yang mampan untuk semua.

    Seterusnya, ucaptama disampaikan oleh Penyelaras Residen PBB untuk Malaysia, Singapura dan Negara Brunei Darussalam, Karima El Korri yang mengetengahkan kesediaan PBB mendukung Brunei Darussalam dalam memacu perlaksanaan SDG.

    Beliau juga menyentuh tentang kemajuan SDG global yang terjejas oleh keadaan dunia pada masa ini. Dari itu, HLPF 2023 akan datang dan Sidang Kemuncak SDG pada September depan diharapkan akan dapat memberi nafas baharu kepada Agenda 2030.

    Bengkel berakhir dengan majlis penyampaian hasil utama bengkel diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati.

    Sesi bergambar ramai bersama peserta-peserta bengkel.
    Pengiran Hajah Siti Nirmala menyampaikan cenderahati kepada wakil UN ESCAP, Sara Libera Zaneti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda