Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang perkembangan kerjasama sekuriti siber

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Mesyuarat Dasar Keselamatan Siber ASEAN Jepun ke-13 yang dianjurkan bersama oleh Jepun dan Kemboja telah diadakan secara dalam talian dan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari negara-negara anggota ASEAN termasuk Brunei Darussalam, Jepun dan Sekretariat ASEAN.

    Menghadiri mesyuarat berkenaan bagi pihak Brunei Darussalam ialah Pesuruhjaya Interim Keselamatan Siber Brunei (CSB), Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan CSB, mesyuarat tahunan itu membincangkan aktiviti-aktiviti dan pencapaian tiga mesyuarat kumpulan kerja yang telah diadakan awal tahun ini, di samping aktiviti kerjasama dan kolaborasi keselamatan siber antara ASEAN dan Jepun.

    Ketua Pengarah Pusat Kesediaan Insiden dan Strategi Sekuriti Siber Kebangsaan (NISC) Jepun, Kenichi Takahashi dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan pelaksanaan norma siber dalam kalangan negara anggota ASEAN dan Jepun terutamanya dengan peningkatan aktiviti dalam talian yang sekali gus menambah ancaman siber semasa pandemik COVID-19.

    Sentimen serupa telah disuarakan oleh penganjur dan pengerusi bersama mesyuarat berkenaan, Setiausaha Rendah Negara, Kemboja, Sinawong Sang.

    Menurut kenyataan, pada mesyuarat berkenaan, para peserta mengongsikan kemas kini negara mengenai mempromosikan dasar dan strategi keselamatan siber kebangsaan masing-masing dan laporan aktiviti-aktiviti kolaborasi pada 2020.

    Brunei, selaku pemimpin bersama aktiviti kolaborasi meningkatkan kesedaran bersama Singapura, juga telah melaporkan mengenai aktiviti-aktiviti kesedaran bersama bagi tahun ini.

    Semasa mesyuarat itu, Awang Shamsul Bahri mengemas kini mengenai pembentukan agensi keselamatan siber kebangsaan Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini, yang beroperasi di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Turut hadir semasa mesyuarat dalam talian itu ialah dua perwakilan dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT) iaitu Awang Mohd Zeremy bin Mohd Wazery dan Caroline Ho.

    Pegawai-pegawai kanan ASEAN dan Jepun serta Sekretariat ASEAN yang menghadiri mesyuarat yang diadakan secara dalam talian berkenaan. – Gambar serahan CSB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda