Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang perkembangan terkini projek BIMP-EAGA PEIC

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Kluster Infrastruktur Tenaga dan Kuasa Elektrik (PEIC) merupakan salah satu sektor utama dalam mencapai visi BIMP-EAGA di mana ia terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi rantau BIMP-EAGA menerusi peruntukan akses kepada sumber tenaga yang mampan.
     
    Ke arah itu, usaha PEIC dalam menyokong visi dan aspirasi BIMP-EAGA diberikan pujian, di mana menerusi perkongsian dan pertukaran maklumat mengenai projek pembangunan kuasa elektrik negara masing-masing bukan sahaja menumpukan kepada akses sumber tenaga bagi penduduk setiap negara tetapi juga menyokong satu sama lain menerusi inisiatif penyambungan rangkaian tenaga elektrik.
     
    Usaha itu mempromosikan perdagangan dan pelaburan menuju ke arah aktiviti ekonomi yang mantap, jelas Pemangku Pengarah Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Awang Ahmad Ridza bin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya di Mesyuarat BIMP-EAGA bagi PEIC ke-11 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
     
    Mesyuarat yang dihoskan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Brunei Darussalam selaku tuan rumah berlangsung dari 3 hingga 5 September dengan dipengerusikan oleh Pengarah Pembinaan Program Ketenagalistrikan, Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral, Republik Indonesia, Ir Wanhar.
     
    Seramai lebih 40 orang delegasi dari negara-negara anggota BIMP-EAGA iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina  menghadiri mesyuarat berkenaan. 
     
    Turut hadir ialah Awang Ahmad Ridza dan Ketua Bahagian Peralihan Tenaga di Jabatan Tenaga di JPM, Dayang Shirley Sikun selaku tuan rumah bersama serta pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga di JPM, JPE, Pusat Tenaga ASEAN dan pegawai-pegawai dari negara-negara anggota BIMP-EAGA.  
     
    Dikategorikan di bawah tonggak Ketersambungan BIMP-EAGA, hasil dan perbincangan mesyuarat tersebut akan dilaporkan kepada Mesyuarat Pegawai Kanan BIMP-EAGA ke-32 yang dijadualkan bersidang di Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia pada 14 hingga 17 Oktober nanti. 
     
    Beberapa mesyuarat sampingan turut diadakan termasuk Mesyuarat BIMP ASEAN Power Grid Advancement Programme (APG-AP) Consultations yang telah diadakan dengan kolaborasi bersama UNESCAP pada 3 September lalu, diikuti seterusnya dengan Bengkel 2nd RECAP (Renewable Energy Certificate) Regional Meeting: BIMP Country Market Assessment and the Foundation for a Collaborative REC Framework yang dikendalikan oleh pakar-pakar teknikal dari Pusat Tenaga ASEAN pada 4 September sebagai salah satu komitmen berterusan untuk menyokong perdagangan kuasa pelbagai hala bagi rantau BIMP-EAGA dan ASEAN. Sementara itu, Mesyuarat BIMP-EAGA PEIC telah membincangkan perkembangan terkini projek-projek BIMP-EAGA PEIC yang berjalan bagi 2023-2025.
     
    Awang Ahmad Ridza dan Ir Wanhar bergambar ramai dengan para ahli delegasi yang menyertai mesyuarat berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda