Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Hanya tinggal 85 hari sahaja lagi, Negara Brunei Darussalam akan merayakan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-34, Tahun 2018.
Justeru itu, tanggungjawab dan peranan semua ahli untuk terus berganding bahu dan bekerjasama adalah amat penting bagi memastikan sambutan itu nanti dapat berjalan dengan lancar, teratur dan sempurna seperti yang dirancang dan dihasratkan.
Perkara itu antara yang dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof ketika mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34, Tahun 2018 (JKT) yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.
Hadir di mesyuarat berkenaan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz; Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar; Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar; Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ahli-ahli dan wakil ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34, Tahun 2018.
Dalam mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Pehin memaklumkan bahawa Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi itu adalah sebagai mesyuarat susulan bagi membincangkan persediaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34, Tahun 2018 dan memutuskan perkara-perkara yang memerlukan pertimbangan serta ketetapan ke arah kesempurnaan sambutan tersebut.

Yang Berhormat Pehin juga memberi kepercayaan dan keyakinan kepada semua ahli dengan percambahan fikiran, pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan dalam pengendalian acara seumpama ini pada tahun-tahun yang sudah akan dapat lagi memperkasakan persediaan dalam menyambut Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 itu nanti.
Agenda mesyuarat adalah membincangkan mengenai tema dan logo sambutan, Upacara Perhimpunan Agong termasuk Konsep Persembahan, Majlis Doa Kesyukuran, Upacara Menaikkan dan Menurunkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam termasuk Majlis Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera serta membincangkan perisian Buku Program Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34, Tahun 2018.
Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 turut diselajurkan dengan sesi bergambar ramai bersama semua ahli jawatankuasa tertinggi sambutan.