Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang perubahan iklim

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Kesatuan Eropah (EU) dengan kerjasama Sekretariat Perubahan Iklim Brunei akan mengadakan Seminar Pendekatan dan Pertukaran Dasar berkaitan perubahan iklim di Hotel Radisson pada 6 Julai ini.

    Menurut kenyataan yang diterima hari ini, seminar mengenai Membina Kapasiti Serantau bagi Pengadaptasian dan Mitigasi Perubahan Iklim itu akan meneroka strategi untuk membina kapasiti serantau bagi menangani perubahan iklim termasuk penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ACCC).

    Sebagai platform untuk berkongsi idea, amalan terbaik dan pendekatan inovatif, seminar itu akan memberi tumpuan kepada topik seperti pembinaan kapasiti untuk penyelidikan perubahan iklim, pemindahan teknologi dan pembangunan dasar iklim.

    Selain itu, ia juga akan meneliti cabaran dan peluang berkaitan dengan penubuhan ACCC seperti struktur tadbir urus, mekanisme pembiayaan dan penglibatan pihak berkepentingan.

    Menerusi seminar itu, ia akan meneroka potensi peningkatan kerjasama antara EU dan negara-negara anggota ASEAN dalam menubuhkan dan menyokong pusat tersebut dengan membincangkan cara meningkatkan inisiatif pembinaan kapasiti, menggalakkan perkongsian pengetahuan dan rangkaian dalam kalangan pihak berkepentingan serantau serta menyokong usaha penyelidikan dan inovasi bersama seperti melalui Program Tindakan Iklim EU-Jerman.

    Seperti diketahui umum, perubahan iklim menimbulkan ancaman besar kepada negara-negara ASEAN dengan kesan daripada peningkatan kerap dan cuaca yang melampau kepada peningkatan paras laut dan kehilangan biodiversiti.

    Menyedari cabaran itu, ASEAN telah terlibat secara aktif dalam usaha serantau untuk mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim, termasuk penubuhan ACCC sebagai platform serantau untuk kerjasama dan tindakan terhadap perubahan iklim.

    Dalam konteks itu, Perjanjian Hijau EU telah muncul sebagai inisiatif terkemuka yang bertujuan untuk menangani perubahan iklim dan menggalakkan kemapanan, menjadikan Eropah neutral iklim yang pertama menjelang 2050.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda