Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang rawatan terkini kanser

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Sebagai inisiatif dalam mengawal serta mengurangkan masalah berkaitan dengan pengurusan serta rawatan kanser di khususnya di negara ini, sidang media mengenai kemajuan teknologi dan terapi terkini dalam rawatan kanser telah diadakan di Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), hari ini.

    Hadir bagi sama-sama membahaskan dan menjelaskan mengenai rawatan serta kepakaran yang terdapat di pusat berkenaan ialah Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar, Profesor Karol Sikora, Profesor Angus Dalgleish dan Pengarah Perubatan PJSC, Dato Seri Laila Jasa Dr Babu Sukumaran. Sidang media tersebut adalah untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada orang ramai mengenai bahaya penyakit kanser yang semakin meningkat dari sehari ke sehari.

    Dr Haji Mazrul Adimin antara lain menjelaskan sidang media berkenaan merupakan alternatif bagi mendapatkan nasihat dan pandangan daripada para pakar dari luar negara yang memiliki lebih banyak pengalaman dalam bidang rawatan kanser di peringkat antarabangsa.

    Secara tidak langsung para pakar dapat memberikan nasihat dan buah fikiran berdasarkan kepakaran yang dimiliki bagi memastikan apa yang telah dilakukan di negara ini dalam menangani dan merawat para pesakit kanser dalam keadaan yang betul dan piawaian yang setara dengan apa yang ditawarkan di peringkat antarabangsa.

    Sementara itu, Profesor Karol Sikora memberitahu sidang media bahawa sepanjang keberadaannya di negara ini, beliau telah menyaksikan beberapa peralatan kelengkapan dan kemudahan yang canggih yang digunakan di pusat berkenaan, dan ia berada dalam keadaan memuaskan, namun apa yang lebih utama adalah kualiti layanan dan kakitangan di pusat berkenaan yang memberikan perkhidmatan kelas pertama dan memuaskan.

    Beliau menambah, kes-kes yang dirujuk di PJSC adalah kurang berbanding pusat perubatan di luar negara memandangkan negara ini merupakan sebuah negara yang kecil dan memiliki jumlah penduduk yang kecil berbanding negara lain.

    Dengan adanya PJSC di negara ini, pesakit kanser di negara ini tidak lagi perlu dihantar ke luar negara yang pada lazimnya memerlukan lebih banyak masa dan tenaga terutama bagi pesakit kanser yang memerlukan rawatan rapi dan intensif.

    Sementara itu, Dato Seri Laila Jasa Dr Babu Sukumaran turut memberitahu sidang media bahawa memandangkan jangka hayat umur di negara ini meningkat, kadar pesakit kanser di negara ini turut meningkat dari sebelumnya yang mana penyakit kanser utama yang sering dihadapi di negara ini bagi kaum wanita ialah kanser payudara manakala bagi lelaki pula ialah kanser kolorektal.

    Selain itu, punca meningkatnya kes kanser di negara ini adalah disebabkan pengambilan makanan yang tidak seimbang dan bertambahnya bilangan mereka yang mengalami obesiti, pengambilan makanan seperti daging, lemak dan penggunaan bahan pengawet yang berlebihan. Oleh itu, Profesor Angus Dalgleish dan Profesor Karol Sikora juga bersetuju  dan menyarankan dalam usaha menjauhkan penyakit kanser, seseorang itu hendaklah mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti melakukan senaman, kurangkan pengambilan daging dan berlemak, makan lebih banyak sayur dan makanan yang kaya serat selain berhenti merokok.

    Dr Haji Mazrul Adimin, Profesor Karol Sikora, Profesor Angus Dalgleish dan Dato Seri Laila Jasa Dr Babu Sukumaran semasa sidang media yang diadakan di PSJC, kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda