Oleh Sim Y. H. –
YANGON, 25 MEI – Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof telah menghadiri Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN (STOM) ke-59 dan Dialog Pegawai-pegawai Pengangkutan Kanan ASEAN dan Amerika Syarikat (ASEAN-US STOD) ke-4, di Yangon, Myanmar, pada 21 hingga 23 Mei.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MTIC, di sini, Mesyuarat STOM ke-59 telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri bagi Pengangkutan dan Komunikasi, Myanmar, Aung Kyaw Tun pada 21 Mei.
Mesyuarat STOM ke-59 seterusnya dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi, Myanmar, Win Khant, selaku Pengerusi STOM bagi 2025.
Semasa STOM ke-59, mesyuarat telah membincangkan status pelaksanaan program-program, aktiviti-aktiviti dan projek-projek di bawah rangka kerja Pelan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur (KLTSP) 2016-2025 yang dilaksanakan oleh kumpulan-kumpulan kerja pengangkutan ASEAN.
Mesyuarat menumpukan perhatian kepada isu-isu berkepentingan landskap sektor pengangkutan di rantau ini, termasuk keselamatan dan sekuriti, kelestarian dan pendigitalan sektor-sektor pengangkutan untuk memudahcara pergerakan penum-pang dan barangan di rantau ini.

Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam platform STOM serta kumpulan-kumpulan kerja memainkan peranan penting dalam membangunkan perkara-perkara berkepentingan seperti memperluaskan kesalinghubungan udara untuk penumpang dan kargo melalui pertukaran hak-hak trafik di dalam dan luar rantau ini, pembangunan kapasiti, peningkatan keselamatan jalan raya, merangka peta jalan kenderaan elektrik serta peningkatan kelestarian dan kemampanan sektor pengangkutan.
Di samping itu, Negara Brunei Darussalam melalui Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam (PBMP) merupakan Pengerusi bagi Kumpulan Kerja Pengangkutan Maritim ASEAN (MTWG) untuk tempoh 2024-2025.
Pengerusi MTWG telah memimpin perbincangan untuk mencapai ASEAN Single Shipping Market (ASSM) dan inisiatif-inisiatif kelestarian maritim, termasuk pengesahan dokumen ASEAN Regional Strategy on Ship Waste Management semasa Mesyuarat STOM kali ini yang merupakan satu daripada Annual Priority for Transport bagi tahun 2025.
ASEAN Regional Strategy itu merupakan satu garis pandu untuk negara-negara ahli ASEAN mengurangkan pembuangan sisa kapal di alam sekitar maritim Asia Timur Tenggara.
Mesyuarat juga bertukar-tukar pendapat mengenai status pelaksanaan kerjasama bersama rakan-rakan dialog iaitu China, Jepun dan Republik Korea, termasuk ASEAN-US STOD.
Sesi bersama rakan-rakan dialog ini antaranya membincangkan perkara-perkara seperti mobiliti pintar dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), kelestarian alam sekitar serta kerjasama pembangunan kapasiti.
Mesyuarat STOM ke-59 turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari MTIC serta PBMP.
Hasil daripada Mesyuarat STOM ke-59 akan dibincangkan lanjut semasa Mesyuarat STOM ke-60 yang akan menumpukan ke arah penyelesaian Annual Priorities for Transport bagi 2025 untuk dihadapkan dan dipertimbangkan semasa Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) ke-31.
Mesyuarat STOM lazimnya mengadakan perjumpaan dua kali setahun untuk merebiu dan menyelaraskan program-program, aktiviti-aktiviti dan projek-projek untuk pertimbangan ATM semasa mesyuarat pada hujung tahun nanti.