BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN bagi Pendidikan Alam Sekitar (AWGEE) yang ke-11 telah diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun pada 25 dan 26 Jun yang dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan, Dayang Martinah binti Haji Tamit.
Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh negara-negara anggota ASEAN kecuali Filipina dan Vietnam dan rakan kongsi kumpulan kerja daripada Hanns Seidel Foundation (HSF), Pusat Biodiversiti (ACB) dan Kementerian Alam Sekitar Jepun. Menurut kenyataan dari JASTRe, hari ini, AWGEE menyelaraskan perlaksanaan Pelan Tindakan ASEAN mengenai Pendidikan Alam Sekitar (AEEAP) yang dibimbing oleh Rangka Tindakan Sosiobudaya ASEAN (ASCC) yang bertujuan untuk mewujudkan ASEAN yang bersih dan hijau dengan penduduk yang peka perihal alam sekitar dan memastikan perkembangan serantau yang mapan melalui pendidikan alam sekitar dan penglibatan khalayak awam.
Mesyuarat dua hari tersebut membincangkan status dan perkembangan projek-projek dan kegiatan di bawah kumpulan kerja tersebut yang telah digariskan dalam Pelan Tindakan ASEAN mengenai Pendidikan Alam Sekitar (AEEAP) dan Pelan Strategik ASEAN mengenai Alam Sekitar (ASPEN) termasuklah usaha dan kegiatan yang melibatkan belia ASEAN.
Tambah kenyataan itu lagi, Brunei Darussalam adalah negara pemimpin bagi Anugerah Eco-Champion Belia ASEAN (AYECA) bersama Singapura, Anugerah Komuniti ASEAN yang baharu diperkenalkan itu bagi meraikan individu-individu cemerlang yang memberikan sumbangan besar terhadap penjagaan alam sekitar. Sehubungan dengan itu, pencalonan bagi anugerah tersebut kini telah dibukakan dan boleh dimuat turun di laman sesawang environment.asean.org/ayeca-2019 serta borang hendaklah dihantarkan sebelum 15 Julai ini.
Pemenang akan menerima anugerah berkenaan daripada Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN dan mengambil bahagian dalam acara belia serantau ASEAN di Kemboja pada suku akhir 2019 ini.
