Wednesday, September 18, 2024
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Bincang, teliti serah semula tanah adat penduduk Tambisan’

    LAHAD DATU, 12 SEPT – Kerajaan Persekutuan dan negeri, serta Felda, akan mengadakan perbincangan bersama untuk meneliti rayuan mengenai penyerahan semula tanah adat di Tambisan kepada penduduk terlibat.

    Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sendiri telah memaklumkan kepadanya tentang rayuan daripada penduduk untuk mengembalikan tanah adat milik mereka.

    “Ada sekitar 400 ekar di Tambisan yang melibatkan Felda. Saya akan minta Felda untuk segera berunding dengan kerajaan negeri.

    “Saya setuju untuk serah balik setelah dibuat ukuran teliti oleh kerajaan negeri dan saya minta juga Felda,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Segalanya Felda, hari ini.

    Menurut Anwar, perubahan kerajaan dan penantian puluhan tahun oleh penduduk untuk mendapatkan kembali hak tanah adat mereka telah didengar oleh kerajaan MADANI.

    “Kalau saya umum hari ini, seperti saya sebut di Kota Kinabalu, saya tidak mahu ia berlarutan selama enam bulan kemudian. Hari ini umum, minggu depan patut mula kerja, dan dalam tempoh satu hingga dua bulan tanah adat di Tambisan harus diselesaikan,” katanya.

    Anwar dalam pada itu turut meluluskan penubuhan sebuah pusat dialisis di Felda Sahabat bagi memenuhi keperluan penduduk sekitar.

    Katanya keperluan keseluruhan rakyat Sabah telah dibincangkan dengan kerajaan negeri, termasuk masalah tenaga elektrik serta bekalan air. – Bernama

    Anwar Ibrahim semasa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Santunan Budi Tautan Kasih Felda MADANI di Padang Bandar Felda Sahabat pada 12 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda