Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang tindakan bersama tangani ancaman dadah

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Lebih 60 orang perwakilan dari parlimen negara-negara ASEAN termasuk para ahli panel dari ASEAN Senior Officials on Drug Matters (ASOD), telah menghadiri Mesyuarat AIPA Advisory Council on Dangerous Drugs (AIPACODD) kali ke-7 yang diadakan di Luang Prabang, Republik Demokratik Rakyat Laos, bermula kelmarin hingga hari ini.

    Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah diwakili oleh ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman dan Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam.

    Mesyuarat tahunan tersebut diadakan bagi membincangkan dan bertukar-tukar pandangan antara parlimen negara-negara ASEAN dan pertubuhan serta badan-badan yang berkaitan, berkenaan tindakan bersama dalam memerangi ancaman dadah.

    Ia termasuk pelaksanaan undang-undang, dasar dan program pembasmian dadah ke arah mencapai ASEAN yang bebas dadah.

    Perwakilan Negara Brunei Darussalam telah berkesempatan untuk mengongsikan laporan kebangsaan semasa berkenaan situasi dadah di Negara Brunei Darussalam serta usaha-usaha dalam menangani isu penyalahgunaan dadah.

    Mesyuarat juga telah menimbangkan satu draf resolusi bertajuk Strengthening the Role of Parliaments in Addressing Drug Matters for the Realization of a Drug-Free ASEAN yang telah dipersetujui untuk dibentangkan semasa Perhimpunan Agung AIPA ke-45 yang akan diadakan pada bulan Oktober nanti.

    Gambar ramai perwakilan yang menghadiri mesyuarat yang diadakan di Luang Prabang, Republik Demokratik Rakyat Laos baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT
    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi dan Yang Berhormat Hajah Safiah semasa menghadiri mesyuarat tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda