Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang transformasi landskap ancaman keselamatan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Delegasi Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara (JKN), Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu telah menghadiri Persidangan Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL) 2025 yang diadakan di Kota Lianyungang, Wilayah Jiangsu, Republik Rakyat China pada 16 hingga 17 September.
     
    Persidangan GPSCFL merupakan sebuah acara tahunan yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Keselamatan Awam China dan Persatuan Persahabatan China di bawah Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri China. 
     
    Tema GPSCFL tahun ini membincangkan transformasi dalam landskap ancaman keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa termasuk trend-trend jenayah yang terkini seperti jenayah siber dan pengganasan. 
     
    Turut menyertai delegasi Negara Brunei Darussalam ke persidangan itu ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang), JPM, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad; Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Yang Amat Mulia DCP Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; Pengarah Biro Kawalan Narkotik, Dato Paduka Haji Mohd Zalani bin Haji Ismail serta pegawai-pegawai kanan dari JPM.
     
    Acara perasmian GPSCFL telah diadakan di Pusat Persidangan Haizhou Bayview di Kota Lianyungang, China pada 17 September lalu.
     
    Delegasi Negara Brunei Darussalam semasa menghadiri Persidangan GPSCFL di Kota Lianyungang, Wilayah Jiangsu, Republik Rakyat China. – GAMBAR SERAHAN JPM
    GAMBAR SERAHAN JPM
    Hadir bagi merasmikan Persidangan GPSCFL 2025 ialah Penasihat Negara dan Menteri Keselamatan Awam China, Tuan Yang Terutama Wang Xiaohong. 
     
    Semasa acara perasmian itu, Presiden INTERPOL, Ahmed Naser Al-Raisi dan Timbalan Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Jean-Pierre Lacroix turut menyampaikan ucapan.
     
    Terlebih dahulu, delegasi Negara Brunei Darussalam telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anggota Jawatankuasa Parti dan Pengarah Jabatan Politik, Kementerian Keselamatan Awam, China, Jia Lijun.
     
    Semasa mesyuarat dua hala berkenaan, delegasi Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China telah menzahirkan rasa berpuas hati atas hubungan kerjasama yang akrab antara kedua-dua buah negara khususnya di dalam bidang keselamatan. 
     
    Dalam hubungan ini, Brunei dan China akan terus menerokai peluang-peluang untuk mengukuhkan lagi jalinan kerjasama di dalam menangani isu-isu kepentingan bersama seperti jenayah penipuan atas talian, penyeludupan dan penyalahgunaan dadah serta penggunaan teknologi terkini di dalam bidang kepolisian. 
     
    Dalam hubungan itu, delegasi Negara Brunei Darussalam juga mengunjungi Ekspo Teknologi Keselamatan Awam yang diadakan sempena Persidangan GPSCFL kali ini.
     
    Sebelum menghadiri Persidangan GPSCFL di Kota Lianyungang, delegasi Brunei juga mengadakan lawatan ke Kota Xi’an di Wilayah Shaanxi, China pada 12 hingga 15 September. 
     
    Lawatan itu adalah atas jemputan Kementerian Keselamatan Awam Shaanxi dan ia merupakan susulan kepada lawatan rasmi Naib Gabenor Shaanxi, Dai Binbin ke Brunei pada Mac lalu. 
     
    Semasa lawatan itu, delegasi Brunei telah mengadakan perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin Kementerian Keselamatan Awam Shaanxi dan seterusnya menyaksikan teknologi-teknologi terkini seperti Sistem Pengurusan Kes dan Sistem Kawalan Trafik yang digunakan oleh pihak Kementerian di Shaanxi. 
     
    Delegasi juga berpeluang untuk melawat Pangkalan Pendidikan Kawalan Dadah Xi’an untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pendekatan inovatif yang digunakan oleh pihak Kementerian Keselamatan Awam untuk menangani isu penyalahgunaan dadah di Kota Xi’an.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda