Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang wujud keamanan

    YANGON, 31 OKT – Menteri keselamatan awam China telah mengadakan perbincangan dengan junta Myanmar untuk mewujudkan keamanan di sepanjang sempadan bersama mereka, kata media kerajaan hari ini, berikutan pertempuran antara kumpulan bersenjata etnik dan tentera di Myanmar.

    Ribuan orang telah dilaporkan kehilangan tempat tinggal, dengan beberapa menyeberang ke China, selepas tiga kumpulan bersenjata berjuang untuk autonomi melancarkan serangan terancang ke atas junta, yang mengatakan ia telah kehilangan kawalan ke atas beberapa kawasan.

    Wang Xiaohong bertemu dengan menteri dalam negeri junta, Leftenan Jeneral Yar Pyae di ibu negara Naypyidaw, lapor Global New Light of Myanmar.

    Kedua-duanya ‘membincangkan keamanan dan ketenteraman di kawasan sempadan kedua-dua negara’ dan kerjasama mengenai penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan, katanya tanpa memberikan butiran.

    Sejak Jumaat pertempuran semakin menganas di sebahagian besar wilayah Shan di utara Myanmar.

    Menteri Dalam Negeri Myanmar Yar Pyae (kiri) berjabat tangan dengan Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong semasa pertemuan di Naypyidaw pada 30 Oktober. – AFP

    Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA), Tentera Arakan (AA) dan Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) berkata mereka telah merampas beberapa pangkalan tentera dan jalan utama yang menghubungkan Myanmar dengan China yang merupakan rakan perdagangan terbesarnya.

    Ketiga-tiga kumpulan itu yang menurut penganalisis mempunyai anggota sekurang-kurangnya 15,000 orang di antara kumpulan telah bertempur dengan tentera untuk mendapatkan autonomi dan kawalan sumber.

    Kedai-kedai dibuka di bandar itu, kata seorang penduduk kepada AFP, tetapi bank-bank ditutup dan jalan raya lebih senyap daripada biasa.

    Manakala, penerbangan dari dan menuju lapangan terbang Lashio telah dibatalkan sehingga sekurang-kurangnya esok, kata ejen tiket penerbangan kepada AFP.

    Jaringan telefon dan internet di bandar Hopang, sekitar 10 kilometer dari Chinshwehaw di sempadan China, turut terputus hari ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda