Tuesday, July 15, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bingkai gegelang kembalikan nostalgia

    Oleh Amri HTZ

     

    NOSTALGIA yang terpahat dalam ingatan perlu dirakamkan dengan gambar kenangan untuk tatapan diri atau keluarga. Setiap detik dalam kehidupan merupakan kenangan indah yang akan menjadi kenangan suatu hari nanti. Bagi mengekalkan detik kenangan tersebut, rakaman gambar-gambar yang telah dirakamkan perlu diletakkan pada satu sudut yang dapat membawa kembali nostalgia tersebut. Ikuti beberapa langkah mudah mereka bingkai gambar gegelang keemasan untuk menyimpan gambar kenangan anda.

    Barangan yang diperlukan

    Bagi mereka bingkai gegelang dengan warna keemasan ini, beberapa barangan penting perlu dimiliki untuk merekanya. Barangannya adalah seperti playar pengepit, playar pemotong, rantai (berwarna keemasan), cecincin, klip kertas (berwarna emas), mesin cetak, gambar, gegelang berukuran 5 inci atau 6 inci, cangkuk, gerudi dan pisau pemotong atau gunting.

    Langkah yang perlu dilakukan

    Pada langkah pertama adalah untuk mencetak gambar yang telah dipilih untuk diletakkan pada bingkai gegelang bergantung. Jika anda telah mempunyai gambar yang telah dicetak, anda hanya perlu terus melakukan langkah seterusnya tanpa perlu mencetak lagi gambar baru. Cetak gambar berukuran 4’’x 3.25’’ setiap satu gambar (dalam projek ini, empat keping gambar akan digunakan).

    Manakala pada langkah kedua, adalah memotong gelungan rantai menjadi ukuran 3 inci setiap satu. Empat potongan rantai diperlukan dalam hal ini. Ketika proses pemotongan, pastikan anda menutup bahagian rantai yang akan dipotong dengan tapak tangan atau menggunakan cermin mata keselamatan. Ini bagi mengelakkan serpihan besi terpelanting ke bahagian anggota badan sekali gus mendatangkan kecederaan terutama sekali pada bahagian mata. Gunakan playar pemotong untuk memotong rantai tersebut.

    Sementara pada langkah ketiga, jika anda memutuskan untuk mereka sendiri gegelang daripada gelungan dawai (mengelakkan membeli yang siap sedia), anda perlu memilih jenis aluminium kerana ia mudah untuk dipateri menggunakan api (blow torch). Gunakan acuan berbentuk bulat untuk memudahkan proses pembulatan dawai. Sebelum memulakan proses pematerian, gosok bahagian dawai yang tajam (bekas potongan) selain menjadikan permukaan dawai tersebut mudah melekat dengan rod pemateri.

    Setelah itu, pasangkan cecincin pada setiap gelungan gegelang dengan memastikan setiap rantai dipasangkan pada bahagian pertengahan di antara gegelang emas tersebut. Gunakan playar pengepit dan ketatkan setiap cecincin dengan kukuh dan rapat. Ini bagi memastikan setiap bingkai gegelung tidak mudah tertanggal ketika ia digantungkan.

    Apabila kesemua bingkai gegelung dicantumkan, pada bahagian cecincin yang telah dicantumkan, pasangkan klip kertas yang telah disediakan. Jika anda menggunakan gegelang yang berwarna keemasan, pastikan anda menggunakan klip kertas dengan warna yang sama. Ini bagi memastikan ia sepadan dengan bingkai gegelung yang digunakan. Klip kertas tersebut berfungsi sebagai pemegang gambar yang akan digantungkan.

    Bagi memastikan gambar yang diklip menggunakan klip kertas tersebut tergantung kukuh, pasangkan juga klip kertas pada bahagian cecincin bawah. Selain itu klip kertas yang digunakan perlulah yang berukuran panjang agar gambar yang hendak digantungkan dapat di klip pada bingkai tersebut.

    Pada bahagian terakhir ialah memasangkan cangkuk pada dinding anda. Tebuk bahagian didinding dengan menggunakan mata gerudi yang sesuai; contohnya jika dinding diperbuat daripada simen, perlulah menggunakan mata gerudi jenis simen dan jika ia kayu, anda hanya perlu menebuk menggunakan mesin gerudi atau hanya dengan paku. Sekarang gambar anda yang penuh dengan nostalgia dapat dipaparkan dan dilihat setiap hari!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda