Wednesday, December 4, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bingkai lampu menarik daripada kayu terpakai

    Oleh Amri HTZ

    Sesebuah perabot yang rosak terutamanya yang diperbuat daripada kayu pejal biasanya disimpan atau dibuang begitu sahaja.

    Jika bukan dalam keadaan yang rosak teruk seperti roboh, terbakar atau diserang serangga perosak, perabot yang diperbuat daripada material sedemikian sebenarnya dapat diperbaiki. Selain memperbaikinya, ia juga boleh digunakan semula untuk mereka sebuah perhiasan lainnya. Dengan peralatan bersesuaian, material sedemikian boleh dimanfaatkan malahan mampu menjimatkan perbelanjaan bagi mendapatkan perabot diinginkan.

    Barangan yang perlu disediakan

    Sebelum memulakan projek rekaan, sediakan barangan seperti mekanisme lampu LED, mesin pemotong kayu, kayu terpakai, ketam kayu, kertas draf, balang kosong bersama penutup, pensel, gam kayu, skru, pembaris, templat berbentuk tiga segi, kertas pasir, cat hitam, kemasan kayu (wood finish) pilihan, pendakap lampu dan mesin gerudi.

    Langkah pembuatan

    Memandangkan kayu yang akan dipakai dalam projek ini merupakan yang diguna semula, pertama sekali periksa keseluruhan permukaan sama ada mengandungi paku, skru atau sebagainya. Jika ada, tanggalkan atau cabut daripada kayu tersebut menggunakan alatan bersesuaian. Langkah sedemikian dilakukan agar alat-alat pertukangan yang digunakan tidak akan rosak jika terkena.

    Kayu terpakai daripada sebuah meja pada projek ini begitu bermanfaat digunakan memandangkan ia berukuran besar dan mampu mempercepat proses pembuatan.

    Dua batang kayu berfungsi sebagai rangka sokongan belakang struktur lampu. – Agensi
    Pembaris berbentuk tiga segi digunakan sebagai templat. – Agensi
    Lakaran kedudukan kayu yang akan dicantum-kan menjadi satu membentuk badan lampu. – Agensi
    Penutup balang yang telah dicat dan ditebuk bagi membolehkan wayar diselitkan. – Agensi
    kepingan kayu tiga segi dalam keadaan bertindih di antara satu dengan lain bagi melakukan penandaan bahagian cantuman dan potongan.

    Namun bagi awda yang tidak memiliki kayu terpakai dalam bentuk sedemikian, awda bolehlah mencantumkan kepingan kayu terpakai menjadi satu menggunakan gam kayu dan alat pengepit kayu.

    Bersihkan dan ratakan permukaan cantuman menggunakan mesin pemotong atau ketam kayu sebelum mencantumkannya.

    Sapu permukaan yang telah diratakan menggunakan gam kayu kemudian tetapkan beberapa kepingan kayu pada alat pengepit kayu. Ukuran keseluruhan kayu yang dicantumkan adalah mengikut besar rekaan yang hendak dicipta selain panjang alat pengepit yang digunakan. Biarkan gam mengering selama beberapa jam sebelum membersihkan lebihan gam kayu yang meleleh dari permukaan cantuman menggunakan pahat kayu.

    Setelah membersihkan kayu terpakai tersedia, langkah seterusnya ialah melakar bentuk badan lampu pada kertas graf.

    Awda juga boleh menggunakan kertas biasa untuk melakukannya. Penggunaan kertas graf lebih kepada pereka yang inginkan bentuk badan lampu yang bebas dan dengan garisan yang terdapat pada kertas tersebut, dapat dijadikan panduan untuk memudahkan proses melakarnya.

    Bentuk badan lampu pada projek ini cukup mudah untuk direka. Menggunakan pembaris berbentuk tiga segi, ia akan dijadikan panduan untuk mendapatkan bentuk badan lampu.

    Awda perlu memainkan kreativiti dalam menghasilkan bentuk keseluruhan rekaan namun kekal dalam bentuk tiga segi bagi memberikan keseimbangan dalam rekaan.

    Cara melakar bentuk keseluruhan badan lampu dalam projek ini ialah dengan mencantumkan sebahagian bentuk tiga segi tersebut di antara satu dengan lain.

    Bentuk-bentuk tersebut seolah-olah bersambung bagi menghasilkan satu badan lampu.

    Selesai melakarnya pada kertas tersedia, langkah seterusnya ialah memotong bentuk tiga segi (bentuk pembaris yang digunakan) daripada kayu tersedia.

    Lakukan langkah sama, pembaris tiga segi itu akan digunakan sebagai templat untuk mendapatkan bentuk diperlukan.

    Gunakan mesin pemotong kayu circular akan mempercepatkan projek rekaan.

    Kayu yang terpotong kemudiannya akan diletakkan pada permukaan kertas lakaran sebelumnya.

    Setiap kepingan kayu yang diletakkan sesuai kedudukannya mengikut lakaran akan dalam keadaan bertindih di mana di setiap permukaan tersebut akan ditandakan dan dipotong bagi membolehkan awda mencantumkannya menjadi satu.

    Permukaan kayu yang telah ditandakan kemudiannya akan dipotong menggunakan bandsaw atau mesin jig.

    Bagi memastikan kepingan kayu tersebut tercantum kukuh di antara satu dengan lain, dua batang kayu akan ditempatkan pada bahagian belakang badan lampu yang juga berfungsi sebagai rangka lampu. Menetapkan kedudukan rangka dan badan lampu menggunakan skru, setiap permukaan cantuman juga akan dikukuhkan dengan sokongan gam kayu.

    Pada permukaan cantuman badan lampu, rongga yang terhasil daripada potongan tidak sempurna boleh disembunyikan dengan cara memasukkan campuran habuk kayu dan gam kayu.

    Campuran itu bagi menggantikan wood filler bagi awda yang tidak memilikinya atau mahu berbelanja lebih.

    Habuk kayu yang didapatkan daripada proses pemotongan kayu sebelumnya akan dikumpulkan dan dicampurkan dengan gam kayu dan dikacau sehingga sebati. Ia kemudiannya akan disapukan pada rongga permukaan cantuman untuk mengisikan dan menutupinya. Setelah ia mengering, permukaan tersebut akan digosok menggunakan kertas pasir berukuran 400 grit.

    Langkah seterusnya ialah menyapukan wood finish pada keseluruhan permukaan rekaan.

    Jenis atau warna wood finish ini tertakluk kepada pilihan namun perlu disesuaikan dengan tema hiasan sesebuah ruangan.

    Manakala bagi mekanisme lampu, pada bahagian laluan wayar perlu ditebuk sesuai dengan ukuran wayar tersebut. Besi penggantung juga perlu ditempatkan pada kedua-dua bahagian hujung kayu rangka atau awda boleh menetapkan pendakap pada siling bagi menggantungkan lampu.

    Panjang wayar lampu yang tergantung mempunyai tiga ukuran di mana dua daripadanya berukuran 20 inci, dua lagi 16 inci dan satu 12 inci.

    Wayar lampu dengan panjang 20 inci akan ditempatkan pada kedua-dua bahagian hujung, wayar 16 inci pula pada bahagian dalamnya, manakala 12 inci pada bahagian tengah. Ini akan membentuk susunan seolah-olah bertingkat yang memberikan keindahan dalam rekaan.

    Bagi bahagian mentol lampu pula, ia akan ditutupi dengan balang kaca. Pada bahagian penutupnya akan ditebuk dengan lubang untuk membolehkan wayar diselitkan.

    Ukurannya perlu sesuai dengan kaki lampu yang digunakan agar ia boleh diketatkan untuk memegang balang tersebut. Selesai menebuknya, cat bahagian penutup balang tersebut menggunakan cat sembur berwarna hitam.

    Penggunaan mentol lampu jenis LED amat disarankan dalam projek ini memandangkan ia jimat tenaga dan kurang menghasilkan haba. Jika mentol biasa digunakan, disarankan untuk menebuk lebih banyak lubang pada penutup balang sebagai pengudaraan. Dengan lampu perhiasan ruangan yang telah berjaya direka ini, kini awda boleh menerangi waktu malam awda sama ada ketika menikmati jamuan mahupun bersantai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda