Bintang Hollywood, Olivia Newton-John, 73, meninggal dunia selepas bertarung dengan kanser payudara.
Olivia yang terkenal dengan watak Sandy dalam filem muzikal mega, Grease menghembuskan nafas terakhir di ladang miliknya di California, Amerika Syarikat (AS).
BBC memetik pengurus penyanyi dan pelakon itu yang mengesahkan kematian Olivia berpunca daripada kanser.
Suami Olivia, John Easterling berkata, isterinya pergi dengan tenang, lapor BBC.
Olivia adalah simbol kejayaan dan harapan selama 30 tahun berkongsi pengalamannya menghidap kanser payudara.

Inspirasi mendiang untuk sembuh dan penerokaannya dalam mencari penawar berasaskan tumbuh-tumbuhan akan diteruskan Yayasan Olivia Newton-John.
Melalui ciapan di Twitter, penyanyi veteran, Dionne Warwick yang pernah merakamkan lagu duet bersama Olivia pada 2006, berkongsi kesedihan dengan membayangkan seorang lagi penyanyi bersuara bidadari kini diangkat menyertai kumpulan koir di syurga.
Ketika hayatnya, Olivia mencipta kejayaan sebagai penyanyi lagu ‘country’ dan menjual berjuta-juta album di seluruh dunia.
Namun, watak penuntut sekolah tinggi bernama Sandy dalam filem Grease melonjakkan nama mendiang di puncak populariti.
Filem Grease yang ditayangkan pada 1978, menggandingkan Olivia dengan aktor, John Travolta. Filem itu menghasilkan tiga single duet popular termasuk You’re The One That I Want dan Summer Nights.
Mendiang dilahirkan di Cambridge, United Kingdom pada 26 September 1948.
Olivia mula dikenali selepas merakamkan lagu If Not For You ciptaan Bob Dylan yang menguasai carta UK pada 1971.
Mendiang memenangi empat trofi Anugerah Grammy dan memiliki tujuh single nombor satu di AS antara 1974 hingga 1977. – Agensi