Friday, April 18, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bintang K-pop Hyoyeon kongsi foto percutian di KL dan Sabah

    Artis Korea Selatan, Hyoyeon dalam laman media sosialnya telah berkongsi gambar-gambar kenangan semasa dirinya berada di Malaysia pada Disember 2024 untuk menjayakan United Music Festival di Kuala Lumpur, dan Flamewave Music Festival di Kota Kinabalu, Sabah.

    Sepanjang kunjungannya di kedua-dua bandar tersebut, selebriti berusia 35 tahun itu tidak melepaskan peluang untuk mencuba pelbagai juadah tempatan dan meneroka beberapa tarikan pelancong yang terkenal.

    Dalam satu hantarannya di Instagram pada Selasa baru-baru ini, Hyoyeon, yang memulakan kerjaya sebagai ahli kumpulan K-pop popular Girls Generation pada tahun 2007, berkongsi beberapa keping gambar dari percutiannya di Malaysia, lapor The Star.

    Antara foto yang dikongsi ialah gambarnya bergaya di hadapan grafiti berwarna-warni di lorong Kwai Chai Hong di Chinatown KL dan satu lagi menunjukkan beliau sedang bersiar-siar di sepanjang Jalan Alor, Bukit Bintang.

    Penyanyi lagu hit Gee itu turut memuat naik gambar-gambar pantai dari Kota Kinabalu serta beberapa hidangan yang dinikmatinya sepanjang berada di Malaysia, termasuk kari laksa, udang mentega dan bendi.

    Hantarannya disertakan kapsyen ringkas, “Last time in Malaysia.”

    Sebelum ini, Hyoyeon turut berkongsi vlog yang merakam pengalamannya di KL pada awal Februari lalu, yang memperlihatkan beliau membeli pakaian, bergambar di sekitar Petaling Street dan menikmati kepak ayam panggang yang sempurna. – Agensi

    Bintang Kpop, Hyoyeon, merupakan salah seorang anggota penyanyi berkumpulan wanita dari Korea Selatan, Girls Generation. – The Star
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda