Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Pengurniaan bintang kebesaran Negara Brunei Darussalam menjadi penyuntik semangat tambahan untuk bekerja lebih gigih lagi pada masa yang akan datang demi mengharumkan nama negara melalui sukan wusyu.
Atlet wusyu negara berusia 22 tahun, Awang Mohammad Adi Salihin bin Roslan berkata sedemikian selepas menerima Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (PSB) pada Majlis Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena Ulang Tahun Hari Ke-puteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 di Balai Singgahsana Indera Kencana, Istana Nurul Iman, petang tadi.
Pemenang pingat emas tiga kali berturut-turut pada temasya Sukan Asia Tenggara pada 2019 di Filipina, Vietnam 2021 dan Kemboja 2023 itu turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua orang tuanya yang banyak berjasa dalam bidang yang diceburinya sejak 2007 ketika berusia enam tahun lagi.
Ucapan penghargaan turut ditujukan kepada jurulatihnya yang banyak membimbingnya dari awal beliau mula berkecimpung dalam sukan wusyu sehingga ke hari ini.
Di samping itu, beliau turut menghargai dukungan berterusan pihak Persekutuan Wusyu Negara Brunei Darussalam, Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam dan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Kejayaan besar sulungnya adalah pada 2017 apabila berjaya mengharumkan nama negara dalam Pertandingan Piala Wusyu Pars ke-6 yang berlangsung di Semnan, Iran dengan meraih dua pingat emas dan satu pingat gangsa.
Beliau yang juga pernah menerima Pingat Indah Kerja Baik (PIKB) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan pada ketika ini bertugas sebagai pembantu jurulatih di Jabatan Belia dan Sukan, KKBS sejak tahun lalu.
Seorang lagi penerima PSB, Awang Hamadi bin Haji Mohammad juga berkata bahawa pengurniaan bintang tersebut akan menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan lagi mutu kerja dengan lebih baik lagi dan berbakti kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Setelah berkhidmat di Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia selama 33 tahun sejak Februari 1990, beliau berasa bersyukur dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan bintang berkenaan.
Sementara itu, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib yang turut menerima PSB mengongsikan perasaan terujanya dan menzahirkan ucapan junjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan pingat kebesaran berkenaan.
“Ia benar-benar menunjukkan bahawa kita sebagai penyumbang daripada sektor swasta diiktiraf sebagai salah satu asas negara untuk pertumbuhan negara kita dan saya amat berharap ini memberi galakan kepada semua yang bekerja di sektor swasta dengan sebaik mungkin,” jelas beliau yang merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG.