Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Sumbangan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dalam mempromosikan hubungan persahabatan dan persefahaman di antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun amat dihargai di mana beliau dipilih oleh kerajaan Jepun untuk di anugerahkan dengan Bintang Kebesaran The Grand Cordon of the Order of the Rising Sun.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan secara konsisten memainkan peranan yang signifikan dalam meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua buah negara, sejak menyertai Program Pemimpin Muda JICA di Jepun pada 1992.
Pada 2006, sebagai Pengarah Jabatan Perdagangan Antarabangsa di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato telah menyumbang kepada mengerakkan ke hadapan rundingan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Jepun-Brunei.
Selepas lantikannya sebagai Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Negara Brunei Darussalam pada 2008, Yang Berhormat Dato telah mengetuai rundingan bagi sebuah kontrak jangka panjang untuk membekalkan LNG ke Jepun.
Pada 2018, Yang Berhormat Dato telah menjawat jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua dan telah mengadakan banyak perjumpaan penting dengan rakan sejawatnya untuk mendalamkan lagi pertukaran di antara kedua-dua buah negara.
Beliau juga telah menunjukkan kepimpinan yang signifikan berhubung isu-isu yang berbangkit semasa Negara Brunei Darussalam menjadi Pengerusi ASEAN pada 2021.
Sehubungan itu, sumbangan Yang Berhormat Dato untuk mempromosikan hubungan dan persahabatan yang erat di antara kedua-dua buah negara itu, amat dihargai, jelas Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru dalam ucapannya di Majlis Penganugerahan Bintang Kebesaran The Grand Cordon of the Order of the Rising Sun kepada Yang Berhormat Dato yang berlangsung di Kediaman Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Kampung Sungai Tilong, kelmarin.
Sementara itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan di majlis berkenaan menyatakan penghargaan ke hadapan majlis Maharaja Jepun, Perdana Menteri Jepun dan kerajaan Jepun serta juga rakyat Jepun atas penghormatan yang diberikan kepadanya melalui penganugerahan bintang kebesaran itu.
Beliau menyatakan penghargaan bahawa Brunei dan Jepun terus menikmati hubungan yang baik yang dapat disaksikan melalui kerjasama kukuh dalam perdagangan, tenaga dan pertukaran di antara rakyat kedua-dua buah negara.