Pelakon Hollywood, Diane Keaton yang terkenal menerusi filem ikonik Annie Hall dan The Godfather dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu.
Berita duka itu disahkan oleh jurucakap keluarga kepada majalah People, yang memaklumkan Keaton menghembuskan nafas terakhir di California pada usia 79 tahun.
Memetik laporan mStar, punca kematian tidak didedahkan dan pihak keluarga meminta agar diberikan ruang privasi buat masa ini.
Keaton mula mencipta nama apabila membintangi Annie Hall (1977) arahan Woody Allen, yang melayakkannya memenangi Anugerah Oscar bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik.
Filem tersebut turut memenangi kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Asal Terbaik, sekali gus meletakkan Keaton sebagai antara pelakon wanita paling berpengaruh dalam sejarah perfileman.
Selain itu, Keaton turut membintangi lapan filem bersama Allen termasuk Play It Again, Sam (1972), Manhattan (1979) dan Manhattan Murder Mystery (1993).
Dalam siri filem The Godfather, Keaton memegang watak Kay Adams, kekasih dan kemudian isteri kepada watak Michael Corleone lakonan Al Pacino, yang turut melonjakkan lagi reputasinya di layar perak.
Sepanjang kerjaya lebih lima dekad, Keaton pernah menerima empat pencalonan Oscar termasuk untuk filem Reds, Marvin’s Room dan Something’s Gotta Give, dan mendiang juga pernah memenangi BAFTA dan Golden Globe.
Pada tahun 2017, Keaton menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada American Film Institute (AFI) yang memuji dia sebagai ‘ikon yang luar biasa, berani dan di luar kebiasaan’.
Tidak hanya itu, Keaton juga dikenali sebagai ikon fesyen dengan gaya tersendiri seperti topi besar, sut lelaki dan aksesori unik yang diperkenalkan menerusi Annie Hall menjadi identiti yang kekal hingga ke akhir hayatnya.
Untuk rekod, Keaton pernah menjalinkan hubungan dengan beberapa bintang ternama termasuk Woody Allen, Al Pacino dan Warren Beatty, namun tidak pernah berkahwin.
Keaton meninggalkan dua orang anak iaitu Dexter dan Duke. – Agensi


