DENPASAR, INDONESIA, 24 JAN – Seorang selebriti media sosial warga Rusia telah dihantar pulang dari Indonesia hari ini selepas dia mengadakan parti di sebuah hotel mewah di pulau peranginan Bali yang dihadiri lebih 50 orang, meskipun sekatan koronavirus.
Parti yang diadakan pada 11 Januari itu telah melanggar protokol kesihatan yang dikenakan bagi membendung penularan virus, kata Jamaruli Manihuruk, ketua polis serantau Bali bagi Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Kemanusiaan.
Sergei Kosenko yang mempunyai lebih 4.9 juta pengikut dalam akaun Instagramnya, tiba di Indonesia pada Oktober dengan menggunakan visa pelancong.
Para pegawai imigresen di Bali telah memutuskan untuk memeriksa kegiatan Kosenko selepas dia menyiarkan dalam media sosial mengenai videonya dengan aksi memandu motosikal bersama penumpang wanita di luar jeti dekat laut pada Disember lalu.
Aksi tersebut dikecam oleh ramai penduduk Indonesia sebagai melulu dan berpotensi membahayakan persekitaran.
Manihuruk berkata siasatan imigresen mendapati Kosenko menyertai aktiviti yang melanggar visa pelancongnya seperti mempromosi syarikat dan produk.
Selepas pengumuman pemulangannya itu, Kosenko memberitahu para wartawan yang berada di pejabat imigresen di Bali yang dia meminta maaf.
“Saya suka Bali. Saya benar-benar minta maaf,” kata Kosenko. – AP
