Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bintang PSG, Dembele menangi anugerah Ballon d’Or

    PARIS, 22 Sept 2025 (AFP) – Penyerang Perancis Ousmane Dembele kelmarin memenangi Ballon d’Or, hadiah individu paling berprestij dalam bola sepak, hasil daripada peranan utamanya dalam pasukan Paris Saint-Germain menjulang trofi Liga Juara-Juara musim lalu.

    Dembele, 28, menewaskan pemain sensasi remaja Barcelona dan Sepanyol, Lamine Yamal dalam majlis di Paris dan menggantikan pemain tengah Manchester City dan Sepanyol, Rodri, yang memenangi trofi itu pada 2024.

    Bekas pemain sayap Borussia Dortmund dan Barcelona itu, yang merupakan sebahagian daripada pasukan Perancis yang memenangi Piala Dunia 2018, menjaringkan 35 gol dalam semua pertandingan ketika PSG memenangi kejuaraan liga dan piala Perancis serta Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah mereka.

    “Saya benar-benar tidak mampu berkata-kata. Ia adalah musim yang luar biasa bersama PSG,” kata Dembele yang penuh emosi, yang berkata jurulatih kelabnya Luis Enrique adalah, “seperti seorang bapa”.

    “Ia adalah trofi individu tetapi ia sebenarnya satu kejayaan kolektif,” tambah Dembele, yang merupakan salah seorang daripada sembilan ahli pasukan PSG yang berjaya dari pencalonan musim lalu.

    “Ballon d’Or sebenarnya tidak menjadi objektif untuk saya dalam karier saya tetapi saya bekerja keras untuk pasukan memenangi Liga Juara-Juara,”ujar Dembele. – AFP

    Ousmane Dembele menyampaikan ucapan selepas menerima anugerah Ballon d’Or kelmarin, – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda