PARIS, 26 Dis – Bintang tenis Roger Federer dan Rafael Nadal berjaya merampas beberapa Grand Slams pada 2017 walaupun kecederaan menimpa dan itu menjadikan jalan cerita yang baru bagi dua musuh ketat itu untuk tahun baru ini.
Federer (gambar) yang akan menjangkau umur 37 tahun pada 2018, membawa kejuaraan terbesar kepada 199 dengan lima gelaran Terbuka Australia, dengan menewaskan Nadal dalam perlawanan lima set dan mencipta rekod kelapan Wimbledon mengatasi Marin Cilic.
Namun, Nadal belum mengaku kalah selepas menjuarai Terbuka Perancis yang ke-10, merangkul Terbuka AS ketiga dan merampas gelaran nombor satu dunia.
Federer mengakhiri kempen tahun ini menghuni tangga kedua dunia selepas bermula pada tangga ke-16 dan tujuh trofi musim ini termasuk tiga Masters di Indian Wells, Miami dan Shanghai walaupun mengelak daripada kesemua gelanggang tanah liat musim ini.
“Ini adalah tahun yang menakjubkan buat saya,” kata Federer yang terlepas beraksi selama enam bulan bagi musim 2016 akibat masalah kecederaan.
Nadal menambah dua gelaran Masters di Monte Carlo dan Madrid sekali gus kejuaraan di Roland Garros dan Flushing Meadows dan mengakhiri kempen ini dengan enam trofi.
Juara 16 kali Grand Slam mengakhiri tahun ini menduduki tempat pertama untuk keempat kalinya.
“Saya tidak terfikir untuk berada di kedudukan pertama pada akhir musim ini,” kata pemain dari Sepanyol itu.
“Ia bukanlah salah satu tujuan saya musim ini. Selepas kembali dari kecederaan, objektif itu tidak terlintas dalam fikiran saya.”
Nadal akan beraksi pada musim baru tanpa bapa saudaranya Toni yang telah menjadi jurulatihnya sejak kecil lagi.
Apa yang paling membimbangkan, dia bertarung dengan kecederaan lutut sudah lama dialaminya.
Dia terpaksa keluar selepas pusingan pertama di Jelajah Dunia dan terlepas untuk beraksi dalam pertandingan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berlangsung pada 28 hingga 30 Disember.
Nadal akan memulakan 2018 di Brisbane dari hujung minggu depan dengan Terbuka Australia pada 15 Januari.
Sementara itu, bekas nombor satu dunia Andy Murray dan juara tiga kali Stan Wawrinka tidak beraksi sejak Wimbledon yang menyaksikan Murray mengalami kecederaan pinggul sementara Wawrinka terpaksa menjalani dua pembedahan lutut.
Novak Djokovic akan beraksi di Abu Dhabi sebagai mantan penghuni nombor 1 dunia dan juara 12 kali Grand Slam itu akan beraksi semula susulan penampilan kali terakhir di Wimbledon di mana dia mengalami kecederaan penggelangan tangan. – AFP