Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Sesi tematik ke-6 pada Persidangan Biodiversiti Brunei Darussalam yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas baru-baru ini telah menumpukan bagaimana biodiversiti dapat menyumbang kepada ekonomi mampan.
Pembentang-pembentang mengetengahkan topik perbincangan mengenai memanfaatkan sumber produk semula jadi, cabaran dan potensi bagi mempelbagaikan ekonomi, biodiversiti bagi pembangunan bioekonomi serta Projek Bebola Karang Sarawak.
Para pembentang memberikan pandangan mereka dalam memanfaatkan biodiversiti secara mampan bagi membuka potensi ekonomi dan daya tahan di mana mesej-mesej penting yang digariskan semasa sesi tematik berkenaan menyatakan bahawa biodiversiti merupakan aset yang tidak boleh diganti dan sekiranya dimanfaatkan secara mampan mampu membawa manfaat ekonomi yang besar dan juga mengekalkan keseimbangan ekosistem semula jadi.
Dalam hubungan itu, matlamat yang ingin dicapai adalah untuk menjana sebuah pembangunan berasaskan bioekonomi yang mampan serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau.
Penggunaan biodiversiti dengan betul boleh menyumbang kepada pelbagai sektor termasuk kesihatan, farmaseutikal, kosmetik, perubatan herba, pelancongan serta makanan dan minum, yang dinilai sekitar AS$65 bilion setahun.
Kesemua inisiatif bioprospek yang dilaksanakan memainkan peranan mustahak dalam mempelbagaikan ekonomi, menjana pekerjaan dan mengembangkan ilmu pengetahuan saintifik.
Namun begitu, usaha-usaha berkenaan memerlukan kolaborasi antara agensi-agensi kerajaan, pihak berkepentingan relevan, akademia dan ahli ekonomi, pelaburan yang besar bagi pembangunan dan penyelidikan, pengawalseliaan IP serta pematuhan kepada kawalan kualiti.
Selain daripada itu, usaha lebih giat diperlukan dalam meningkatkan biodiversiti flora dan fauna marin serta darat untuk mendapatkan hasil yang lebih tinggi dan turut menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi.
Di samping itu, potensi untuk memanfaatkan produk-produk berasaskan hutan yang asli dan endemik kepada kawasan geografi khusus sebagai produk turut diketengahkan seperti makanan dan ekopelancongan yang turut melibatkan penyertaan komuniti setempat sebagai kaedah untuk mengembangkan lagi ekonomi.