Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bioems buka cawangan pertama di Melaka

    MELAKA, 16 Sept – Pusat Kesihatan Bioems (M) Sdn Bhd yang berpangkalan di Singapura, membuka cawangan pertamanya di negara ini di Kota Laksamana, di sini, dengan nilai pelaburan kira-kira RM2 juta.

    Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Melaka, Low Chee Leong, berkata pusat kesihatan yang menggunakan teknik ‘electric muscular stimulation’ (simulasi otot elektrik) sebagai rangsangan dan rawatan kepada tubuh badan itu memberikan perkhidmatan percuma kepada orang ramai khususnya rakyat di negeri ini.

    “Rawatan ditawarkan Pusat Kesihatan Bioems juga mengguna pakai konsep perubatan tradisional Cina untuk menambah keberkesanan rawatan ‘electric muscular stimulation’ dan ia tidak menggunakan sebarang ubat.

    “Teknik rawatan ini adalah satu cabang atau teknik baharu dalam bidang kesihatan pada masa ini yang digunakan sebagai alternatif atau langkah pencegahan awal untuk pelbagai penyakit terutama berkaitan sendi atau saraf,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

    Terdahulu, beliau merasmikan pembukaan Pusat Kesihatan Bioems (M) Sdn Bhd di Taman Kota Laksamana Jaya, di sini. Turut hadir, Pengarah Urusan Bioems (M), Sdn Bhd, Wong Yoke Seng.

    Mengulas lanjut, Low berkata, pembukaan pusat kesihatan berkenaan selaras dengan matlamat Kerajaan Pakatan Harapan menjadikan kebajikan sebagai asas dalam perkhidmatan sekali gus dapat membantu rakyat.

    “Saya difahamkan, mesin digunakan untuk rawatan mendapat pengiktirafan kerajaan Singapura,” katanya.

    Sementara itu, Wong berkata, beberapa lagi cawangan Pusat Kesihatan Bioems (M) Sdn Bhd akan dibuka secara berperingkat di seluruh negara dalam tempoh dua tahun akan datang.

    Beliau berkata, cawangan kedua pusat berkenaan akan dibuka di Kuala Lumpur dalam tempoh dua bulan diikuti negeri lain termasuk di Pulau Pinang dan Sarawak. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda