Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    BioNTech beli CureVac, perkukuh penyelidikan kanser

    FRANKFURT, 13 JUN – Syarikat BioNTech dari Jerman membeli syarikat pesaing tempatan, CureVac, dengan nilai AS$1.25 bilion, menurut pengumuman kedua-dua syarikat kelmarin, menyatukan dua firma farmaseutikal yang pakar dalam teknologi mRNA dengan matlamat untuk memajukan rawatan kanser.

    BioNTech, yang membangunkan vaksin koronavirus pertama yang diluluskan di Barat bersama gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer, berkata pengambilalihan itu akan

    “menggabungkan keupayaan saling melengkapi dan memanfaatkan teknologi sedia ada.”

    Kedua-dua syarikat bioteknologi itu telah bertahun-tahun menjalankan penyelidikan dalam bidang vaksin dan rawatan berasaskan mRNA, yang merangsang tindak balas imun dengan menghantar molekul genetik mengandungi kod untuk bahagian utama patogen ke dalam sel manusia.

    Walaupun teknologi tersebut menjadi terkenal menerusi vaksin COVID-19, ia turut digunakan dalam bidang lain dan para saintis percaya ia berpotensi menjadi pemangkin perubahan besar dalam rawatan pelbagai penyakit.

    BioNTech menyatakan bahawa pengambilalihan CureVac akan membantu memperkukuh usaha mereka dalam bidang imunoterapi kanser berasaskan mRNA – iaitu rawatan yang menggunakan sistem imun tubuh sendiri untuk melawan penyakit.

    “Transaksi ini merupakan satu lagi langkah penting dalam strategi onkologi BioNTech dan satu pelaburan terhadap masa depan perubatan kanser,” kata Ketua Pegawai Eksekutif BioNTech, Ugur Sahin.

    Dia berkata ia bertujuan untuk “menetapkan piawaian baharu dalam penjagaan pelbagai jenis kanser dalam beberapa tahun akan datang.” – AFP

    Logo pada fasad tapak pengeluaran baharu milik syarikat Jerman, BioNTech, bagi penghasilan vaksin COVID di Marburg, tengah Jerman, pada 27 Mac 2021. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda