WASHINGTON, 19 FEB – Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) mengemukakan kebimbangan tentang apa yang dilihat mereka sebagai kegagalan Amerika untuk bersaing dengan China dalam bioteknologi, memberi amaran tentang risiko kepada keselamatan AS dan kepentingan komersial.
Namun apabila persaingan kedua-dua negara itu meningkat dalam industri bioteknologi, ada yang mengatakan bahawa usaha menutup syarikat-syarikat China hanya akan menjejas AS.
Bioteknologi berjanji untuk merevolusikan kehidupan seharian, dengan saintis dan penyelidik menggunakannya untuk mencatat kemajuan pesat dalam rawatan perubatan, kejuruteraan genetik dalam pertanian dan biomaterial baharu. Disebabkan potensinya, ia telah menarik perhatian kerajaan China dan AS.
Rang undang-undang telah diperkenalkan di Dewan dan Senat untuk menghalang syarikat-syarikat bioteknologi China daripada berurusan dengan pembekal perubatan AS yang dibiayai oleh kerajaan. Rang undang-undang itu menyenaraikan empat syarikat milik China.
Kedutaan China mengecam rang undang-undang itu sebagai ‘bermotifkan ideologi’ dan berusaha ‘menindas syarikat-syarikat China dengan dalih palsu’. Ia juga menuntut agar syarikat-syarikat China diberi ‘layanan terbuka, adil dan tidak berat sebelah’.
Isu bioteknologi itu timbul ketika pentadbiran Biden cuba menstabilkan hubungan AS-China yang tegang yang dibelenggu pelbagai isu, termasuk perang perdagangan, pandemik COVID, keselamatan siber dan isu-isu maritim di Laut China Selatan.
Pengkritik undang-undang itu memberi amaran bahawa sekatan ke atas syarikat-syarikat China akan menghalang kemajuan yang boleh membawa manfaat yang lebih besar.
“Dalam bioteknologi, seseorang tidak boleh mengekalkan daya saing dengan mengekang orang lain,” kata Abigail Coplin, penolong profesor di Vassar College yang pakar dalam industri bioteknologi China.
Dia berkata dia bimbang penggubal dasar AS akan menjadi terlalu taksub dengan aplikasi teknologi ketenteraan sehingga menjejas usaha untuk menyembuhkan penyakit dan memberi makan kepada penduduk dunia. – AP










