7Oleh Amri HTZ
JENDELA sesebuah ruang bilik setentunya memainkan peranan penting daripada segi perhiasan selain memberikan cahaya matahari daripada ruang luar.
Melihat kepentingannya, ia setentunya perlu diberi perhatian dengan menghiasnya dengan cantik. Kehadiran birai berhias dapat menyerikan lagi ruang bilik anda dengan beberapa langkah mudah untuk merekanya.
Barang-barang yang diperlukan
Bagi mereka birai hias untuk jendela ruang bilik ini, peralatan yang diperlukan adalah mesin pemotong kayu, gerudi dengan ukuran 6 mm mata gerudi, staple gun dengan ukuran 5/8, pita pengukur, pensel, garisan, gam kayu, gunting dan garisan timbang aras (level).
Manakala barang-barang yang diperlukan untuk merekanya adalah 1×8 x6 inci kayu jenis papan, 1-5/8 inci skru kayu, 2’’ skru, busa tumpat, penyembur fabrik (gam), ½ inci batting (sejenis fabrik seperti span), kain atau fabrik yang dipilih dan pendakap heavy duty.


Proses pembuatan
Pada langkah pertama, ukur saiz jendela ruang bilik anda dan tambahkan 4 inci kepada ukuran yang telah dibuat dan tandakan pada kayu 1/8 inci yang telah disediakan. Potong kayu yang telah ditanda menggunakan mesin pemotong kayu sebanyak dua keping. Dengan membuat bentuk ‘L’ seperti dalam gambar, sapukan gam kayu pada kawasan cantuman kayu. Jika anda mempunyai pengepit kayu (wood vise), ini akan memudahkan anda untuk memegangnya.
Pada langkah kedua, kayu lebihan daripada potongan sebelumnya akan digunakan untuk bahagian sisi birai. Letakkan kayu tersebut pada kayu yang telah dicantumkan tadi dan tanda menggunakan pensel dan kemudian potong menggunakan mesin pemotong. Lakukan proses yang sama untuk sudut sisi birai yang satu lagi. Sebelum mencantumkan kayu yang telah dipotong, sapukan gam kayu pada sudut percantuman dan kemudian kukuhkan dengan menggunakan skru khas kayu.



Manakala pada langkah ketiga, letakkan batting yang telah disediakan dengan memastikan kayu birai tadi diletakkan di kawasan tengah. Semburkan gam khas kayu (tersedia dalam botol penyembur) pada kesemua permukaan kayu tersebut dan kemudian bungkus kayu tersebut dengan menggunakan batting dengan memastikan batting dipasang dengan kemas dan ketat. Lakukan proses ini satu persatu dengan memastikan setiap permukaan dibungkus dengan batting dan ratakan dengan menekan setiap permukaan batting agar ia melekat. Selepas itu anda bolehlah mengukuhkannya dengan menggunakan staple gun pada bahagian sudut hujung kayu.
Pada bahagian terakhir (proses membalut kayu dengan batting) lebihkan 4 inci ukuran batting sebelum memotongnya menggunakan gunting. Lebihan lipatan terakhir batting pada permukaan kayu birai juga boleh dipotong atau anda hanya perlu melekatkannya dengan menggunakan staple gun memandangkan ia berada pada bahagian yang terlindung.



Pada langkah keempat merupakan proses melekatkan kain atau fabrik yang telah dipilih. Semburkan gam penyembur pada permukaan batting dan lakukan proses yang sama seperti proses melekatkan batting. Perlu diingat pada langkah ini merupakan langkah yang penting kerana hasil daripada proses ini jika tidak kemas setentunya nampak ketara kerana ia berada pada bahagian luar.
Manakala pada langkah kelima, tebuk dinding yang telah disukat dengan menggunakan mata gerudi yang berukuran 6 mm (diameter) dan gunakan garisan timbangan air (level) untuk memastikan pendakap yang hendak dipasang pada keadaan tegak. Sebelum menebuk lubang pada dinding, pastikan lubang pendakap berada pada kedudukan yang betul agar tidak merosakkan dinding. Manakala bagi pendakap sudut yang satu lagi, gunakan garisan timbangan air bagi memastikan birai yang dipasang nanti dalam keadaan rata.
Pada langkah terakhir, pasangkan pendakap pada dinding dengan menggunakan skru dan kemudian cantumkan birai yang telah siap direka dengan memasangkan skru pada bahagian dalam birai pada pendakap tersebut. Pastikan ia kukuh dengan memberikan sedikit tekanan pada birai tersebut kerana ditakuti pendakap pada bahagian dinding tertanggal ataupun skru yang kurang sesuai digunakan. Selamat mencuba!