Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Dengan harapan untuk melahirkan golongan wanita yang mampu berdikari, Biro Wanita ‘Al Mudarrisah’ Kampung Sungai Buloh telah ditubuhkan yang dilancarkan hari ini di Pusat Kemasyarakatan Kampung Mentiri.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan pelancarannya ialah isteri Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Dayang Fairuz binti Haji Zolkifli.
Pengerusi Majlis, Dayang Roswati binti Haji Awang Damit semasa menyampaikan ucapannya menjelaskan, Al Mudarrisah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud guru perempuan yang mengajar atau orang yang menyampaikan ilmu atau pelajaran.
Beliau berharap dengan tertubuhnya biro wanita berkenaan akan dapat melahirkan golongan wanita yang mampu berdikari, cekal dan bersemangat di samping membawa wanita-wanita daripada penduduk Kampung Sungai Buloh dan kawasan sekitarnya untuk melaksanakan atau menganjurkan kegiatan atau aktiviti sosial dan berkebajikan dengan melibatkan pelbagai agensi daripada pihak kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
Dengan penubuhan ini, ahli-ahli diharap sentiasa bergiat aktif dalam memberikan idea di samping sering kali melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang.
Antara rancangan jangka pendek biro berkenaan adalah melibatkan ahli dalam aktiviti keagamaan di samping menggalakkan ahli menyertai kursus dan seminar serta mengadakan lawatan sambil belajar.
Manakala itu, rancangan jangka panjang pula menambah jumlah ahli, melibatkan ahli dalam aktiviti perekonomian dan menyediakan inap desa serta aktiviti-aktiviti pelancongan.
