Wednesday, March 19, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Biro Wanita MPK Sengkurong B adakan majlis khatam

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Seramai 52 orang ahli Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong B telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan dan diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma pada majlis yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong, hari ini.

    Penyampaian sumbangan derma itu dikhususkan kepada 33 orang anak-anak yatim, 12 orang asnaf dan tiga orang ahli Biro Wanita MPK Sengkurong B telah menerima sumbangan berbentuk wang ringgit dan barangan makanan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan anak-anak yatim dan para asnaf Kampung Sengkurong B yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Sumbangan adalah hasil kutipan derma daripada ahli-ahli Biro Wanita MPK Sengkurong B dan keluarga masing-masing.

    Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyah dan bacaan surah lazim beramai-ramai dan seterusnya bacaan Takhtim dan Doa Khatam Al-Quran.

    Turut menyertai majlis khatam itu ialah ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan semua ahli Biro Wanita dan majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban.

    Tadarus bermula pada 2 hingga 16 Ramadan yang diadakan di Balai Ibadat Baitul Mal, Kampung Selayun Sengkurong dan juga di rumah-rumah ahli Biro Wanita.

    Antara lain tujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk menyemarakkan serta memeriahkan sambutan memperingati peristiwa Nuzul Al-Quran, selain untuk membudayakan ahli Biro Wanita cara hidup beragama serta menanamkan rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran serta tadarus secara berkumpulan atau persendirian.

    Di samping itu, ia juga untuk meraih keberkatan dan syafaat Al-Quran dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran.

    Majlis diselajurkan dengan membaca Tahlil, Doa Arwah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Kamaruzaman bin Haji Jakar.

    Turut hadir di majlis itu ialah Pemangku Ketua Kampung Sengkurong B, Awang Abdul Razak bin Haji Ismail selaku Pengerusi MPK Sengkurong B; Pengerusi Biro Wanita MPK Sengkurong B, Hajah Rukiah binti Haji Mohammad Yassin; Timbalan Pengerusi Biro Wanita MPK Sengkurong B, anak-anak yatim, para asnaf dan para penaja serta jawatankuasa tertinggi dan ahli-ahli Biro Wanita MPK Sengkurong B.

    Dato Seri Setia Haji Yusoff menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Ahli-ahli Biro Wanita MPK Sengkurong B yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan yang diadakan kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda