Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Seramai lebih 60 orang ahli Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong ‘B’ serta para jemputan khas hadir bagi menyemarakkan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1447 yang diadakan sempena memperingati kedatangan Tahun Baharu Hijrah.
Majlis yang dianjurkan oleh Biro Wanita MPK Sengkurong ‘B’ melalui inisiatif jawatankuasa tertinggi serta ahli-ahlinya, bertujuan untuk menghayati peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah serta menyeru kepada perubahan positif dalam diri khususnya dalam kalangan wanita.
Hadir selaku penceramah undangan khas ialah Pensyarah di Fakulti Undang-undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Widad binti Dr Haji Abdul Aziz.
Ceramah khas beliau bertemakan Hijrah dan Wanita Mengikut Perspektif Islam, yang mengetengahkan peranan wanita dalam menerapkan nilai-nilai hijrah dalam kehidupan seharian.
Turut hadir, Dayang Lauyah binti Haji Mohammad, isteri kepada Pemangku Ketua Kampung Sengkurong ‘B’; Pengerusi Biro Wanita MPK Sengkurong ‘B’, Hajah Rukiah binti Haji Mohammad Yassin; Timbalan Pengerusi, Hajah Azizah binti Haji Mirasan, serta barisan jawatankuasa tertinggi dan ahli-ahli biro berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Muslimah dari Masjid Sultan Sharif Ali dan wakil Biro Wanita MPK dari beberapa kampung lain termasuk Kampung Sengkurong ‘A’, Kampung Jerudong, Kampung Tanjong Nangka, Kampung Mulaut, Kampung Selayun/Tagap dan Kampung Lugu/Katimahar.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Selawat At-Tafrijiyyah dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Bahagian Keugamaan Biro Wanita MPK Sengkurong ‘B’, Hajah Rosnah binti Haji Tamin, disusuli dengan Doa Awal Tahun Hijrah oleh Hajah Kahidah binti Haji Salat.
Majlis diteruskan dengan persembahan tausyeh yang dibawakan oleh ahli-ahli Biro Wanita MPK Sengkurong ‘B’ sebelum ditutup dengan Doa Peliharakan Sultan dan Doa Selamat oleh Hajah Rahimah binti Abas.
Melalui penganjuran majlis tersebut, pihak penganjur berharap agar nilai-nilai hijrah dapat terus dihayati dan diamalkan oleh seluruh masyarakat, khususnya dalam kalangan wanita agar menjadi pemangkin kepada perubahan diri yang lebih baik serta memperkukuhkan ikatan silaturahim dan semangat keagamaan dalam komuniti.






