BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Bagi memeriahkan dan memberkati bulan Ramadan pada tahun ini, Belia Masjid Ash-Shaliheen dengan kerjasama Takmir Masjid Ash-Shaliheen dan Kumpulan Biro Wanita Mukim Berakas ‘A’, telah julung-julung kalinya mengadakan majlis berbuka bersama anak-anak yatim di masjid berkenaan.
Seramai 31 orang anak-anak yatim telah dijemput untuk memeriahkan majlis bersama ahli keluarga mereka.
Majlis berkenaan diungkayahkan dengan tujuan untuk bersama-sama meraikan dan mengeratkan lagi silaturahim dengan anak-anak yatim.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Surah Ad-Dhuha oleh ahli Belia Masjid Ash-Shaliheen.
Sejurus itu diikuti dengan penyampaian hadiah dan sumbangan untuk anak-anak yatim telah disempurnakan oleh Ketua Imam Masjid Ash-Shaliheen, Awang Anuar bin Haji Salim yang diiringi oleh Timbalan Ketua Belia Masjid Ash-Shaliheen, Awang Rahim Bin Suany.
Majlis juga diisikan dengan sesi Kuliah Ramadan bertajuk ‘Mi’raj Cinta (Doa)’ yang disampaikan oleh penceramah undangan, Dr. Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah. Majlis kemudian disusuli dengan bersungkai bersama-sama anak yatim dan solat Maghrib berjemaah.
Wakil Belia Masjid Ash-Shaliheen, Awang Muhd Danial bin Ramadhan berkata, majlis tersebut diharap akan dapat memberikan motivasi kepada yang hadir dan sesiapa saja agar dapat melakukan amal bukan sahaja di bulan Ramadan, malah di bulan-bulan lain.
“Sesuatu pemberian itu, sebelum ia bermanfaat kepada si penerima, ia bermanfaat kepada si pemberi Insya-Allah,” tambahnya.