Sunday, May 11, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bisa kala jengking sebagai penawar penyakit

    OASIS DAKHLA, MESIR – Dikelilingi ribuan kala jengking hidup dalam sebuah makmal di Padang Pasir Barat Mesir, Ahmed Abu al-Seoud mengendali haiwan araknid berekor lengkung dengan berhati-hati sebelum mengeluarkan setitis bisanya.

    Seorang jurutera mekanikal yang bekerja dalam sektor minyak hampir dua dekad lamanya, Abu al-Seoud membuat keputusan pada 2018 untuk menukar pekerjaan, dengan menghasilkan bisa kala jengking untuk tujuan penyelidikan farmaseutikal.

    “Saya melayari internet dan mendapati bisa kala jengking merupakan salah satu yang paling mahal di pasaran,” kata lelaki berusia 44 tahun itu, dalam pakaian kot makmal putih.

    “Maka saya berfikir kepada diri saya: Kenapa tidak mengambil kesempatan persekitaran padang pasir ini di mana kala jengking merayau-rayau?”

    Para penyelidik bioperubatan sedang mengkaji khasiat bisa kala jengking dari segi farmaseutikal, menjadikan neurotoksin satu komoditi yang amat dicari-cari yang kini dihasilkan di beberapa negara Timur Tengah.

    Ahli farmasi Nahla Abdel-Hameed menunjukkan seekor kala jengking yang ditangkapnya di Padang Pasir Barat Mesir. – AFP
    Jurutera Mesir Ahmed al-Seoud menangkap seekor kala jengking di makmal di Padang Pasir Barat Mesir, berhampiran bandar Dakhla di Lembah Baharu pada 4 Februari 2021. – AFP

    “Puluhan molekul bioaktif yang diperoleh daripada kala jengking telah terbukti memiliki khasiat farmakologi,” menurut satu kajian yang disiarkan pada Mei lalu dalam jurnal Biomedicines.

    Ia berkata makmal kini sedang mengkaji kesan antibakteria, antikanser dan ‘immuno-suppressive’ yang mungkin timbul daripada bisa kala jengking, berharap dapat menggunakan atau mensintesiskannya untuk dijadikan ubat.

    Abu al-Seoud berasal dari oasis Dakhla, terletak di wilayah Lembah Baharu Mesir dan kira-kira 800 kilometer dari barat daya ibu negara Kaherah.

    Makmalnya dikelilingi gumuk dan pokok palma, yang digelarnya ‘Dunia Kala Jengking.’

    “Di sini, setiap keluarga mempunyai kisah mengenai sengatan kala jengking,” kata Abu al-Seoud.

    Untuk mengeluarkan bisa daripada haiwan tersebut dalam keadaan terkawal makmal, kala jengking diberikan kejutan elektrik.

    Pekerja menunggu 20 hingga 30 hari di antara pengekstrakan untuk mendapatkan visa dengan kualiti terbaik.

    “Apa yang penting adalah tahap ketulenan,” kata Abu al-Seoud, menambah satu gram memerlukan bisa 3,000 hingga 3,500 kala jengking.

    Cecair itu disejukkan dalam peti sejuk dan dihantar ke Kaherah, di mana ia dikeringkan dan dibungkus untuk dijual dalam bentuk serbuk.

    Makmal itu ‘diperakui oleh kerajaan’ dan berupaya mengeksport produk ini,” kata Nahla Abdel-Hameed, 25 tahun, seorang ahli farmasi yang bekerja di pusat itu.

    Abdel-Hameed merujuk kepada beberapa kajian saintifik yang menyelidiki khasiat penawar bisa dalam menyembuhkan penyakit tertentu.

    Mohey Hafez, anggota dewan farmaseutikal di Persekutuan Industri Mesir, bersikap lebih hati-hati dalam penilaiannya mengenai penggunaannya sekarang.

    “Bisa kala jengking dan ular boleh digunakan untuk menghasilkan serum,” jelasnya kepada AFP.

    “Tidak adanya ubat siap yang bergantung sepenuhnya pada bisa sebagai ramuan, namun terdapat penyelidikan yang positif tentang penggunaannya.”

    Wilayah Lembah Baharu mempunyai kira-kira lima spesies kala jengking berlainan, termasuk spesies deathstalker (Leiurus quinquestriatus) yang amat dicari-cari, di mana bisa spesies tersebut dijual sehingga AS$7,500 setiap gram, menurut Abu al-Seoud.

    Sementara dia sendiri juga menangkap haiwan berkenaan, dia mengupah penduduk kampung berhampiran untuk aktiviti berisiko tersebut, melengkapi mereka dengan sarung tangan, penyepit kecil, but, lampu UV dan pencegah bisa.

    Pemburu kala jengking memperoleh satu hingga 1.5 pound Mesir untuk setiap haiwan yang ditangkap.

    Abdel-Hameed berkata haiwan araknid itu ditangkap di kawasan perumahan agar tidak menjejas ‘keseimbangan ekologi.’

    “Saya mengelaskannya mengikut kawasan di mana ia ditangkap, spesies dan saiz,” kata beliau.

    Rakan sekerjanya Iman Abdel-Malik berkata walaupun kala jengking boleh hidup tanpa makanan untuk tempoh masa yang lama, ia diberikan ‘makanan dan protein untuk menambah pengeluaran toksin’ – yang terdiri daripada lipas dan ulat dua kali sebulan pada musim panas, dan kurang semasa hibernasi musim sejuk.

    Terdapat rancangan untuk membiak kala jengking pada masa akan datang dan bukannya menangkap haiwan itu, tambah doktor haiwan berusia dalam lingkungan 20an itu.

    Kira-kira 20,000 haiwan telah dikumpul setakat ini, menurut rakan perniagaan Alaa Sabaa, sementara makmal tersebut mempunyai kapasiti maksimum sebanyak 80,000.

    Beliau berkata pengekstrakan bisa kala jengking pertama diadakan pada Disember dan Januari selepas persediaan selama dua tahun, dan berjaya menghasilkan ‘tiga gram bisa.’

    Projek biayaan sendiri itu setakat ini menelan kos berjumlah kira-kira lima juta pound, atau kira-kira AS$320,000, menurut beliau, dan juga telah mendapat sokongan kerajaan.

    Mereka juga mengeluarkan bisa lebah dan menjual produk pertanian, termasuk tumbuh-tumbuhan berbau harum.

    Sementara Mesir telah menghasilkan pelbagai jenis bisa bertahun-tahun lamanya, Abu al-Seoud berkata ia sering dilakukan secara haram atau bermutu rendah.

    Beliau berkata beliau berharap operasinya pada satu hari nanti akan menjadi antidot kepada ‘reputasi teruk’ negara dalam sektor itu.

    “Kami berusaha menunjukkan keupayaan negara, menerusi produk berkualiti tinggi yang telah dikaji secara saintifik dan dihasilkan serta dieksport secara sah,” kata beliau. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda