LONDON, 12 SEPT – Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku meledakkan gol di Stamford Bridge buat pertama kali apabila dua jaringannya menjamin kemenangan 3-0 ke atas Aston Villa, semalam.
Selepas menjaringkan dua gol pada penampilan pertamanya bersama Chelsea ketika kemenangan di Arsenal pada Ogos lalu, Lukaku kini telah mencetak tiga gol daripada tiga penampilannya dengan mempamerkan penyudah berbisanya.
Lukaku, sebelum ini beraksi di Chelsea dari 2011 ke 2014, sudah kembali semula ke skuad Blues dengan rekod perpindahan kelab AS$135 juta dari Inter Milan.
Pemain berusia 28 tahun itu tidak pernah menjaringkan gol di hadapan peminat di laman sendiri di Chelsea, tetapi dia melakukannya pada separuh masa pertama untuk menggembirakan 40,000 peminat yang hadir.
Mateo Kovacic menjaringkan gol kedua Chelsea dan Lukaku menjaringkan gol di hujung perlawanan ketika juara Eropah itu mencatat tiga kemenangan dalam empat perlawanan awal liga.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu kini menduduki tangga kedua, di belakang Manchester United berdasarkan perbezaan jaringan.
Chelsea adalah kelab kedua, selepas Manchester United yang memenangi 600 perlawanan Liga Perdana.
Mengenai impak dipamerkan Lukaku, Tuchel berkata “Dia berasa penuh yakin dan menyedari apa yang mahu dilakukan pemain itu.
Dia begitu yakin meledak gol, jadi ia sangat membantu kami.”
Tuchel mengakui Chelsea gagal mencatat prestasi terbaik sekalipun memperoleh kemenangan selesa dalam perlawanan itu.
“Ia sememangnya aksi yang kurang meyakinkan. Pihak lawan memberikan kami banyak masalah, terutamanya pada babak pertama,” katanya.
“Ia merupakan perlawanan sangat merbahaya buat pasukan yang mempunyai ramai pemain keluar untuk tugas antarabangsa.
“Ia satu perasaan yang pelik sebelum perlawanan. Saya harap gol pertama boleh memberikan keyakinan, namun ia tidak berlaku.”
Saul Niguez membuat penampilan pertama Chelsea setelah berpindah dari Atletico Madrid ketika Tuchel melakukan enam perubahan barisan skuadnya selepas perlawanan seri 1-1 di Liverpool. – AFP