Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bisaitah Recycle kitar semula 60kg sampul raya

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Bank Baiduri telah berjaya mengumpulkan dan mengitar semula sebanyak 60 kilogram (kg) sampul raya menerusi kempen kitar semula sampul raya dinamakan Bisaitah Recycle, baru-baru ini.

    Dilancarkan pada April 2024, inisiatif tersebut bertujuan untuk menggalakkan kemampanan alam sekitar dan mengurangkan sisa semasa musim perayaan.

    Menurut kenyataan dari Bank Baiduri, kempen itu merupakan bahagian penting dalam usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) alam sekitar bank itu yang lebih luas, memfokuskan pada sisa sifar, menyokong inisiatif hijau dan meningkatkan kesedaran awam tentang isu iklim.

    Sepanjang kempen tersebut, tong-tong kutipan telah diletakkan di cawangan Bank Baiduri terpilih di seluruh Daerah Brunei Muara, Tutong dan Belait. Sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai turut menyerlahkan komitmen masyarakat terhadap kemampanan dan kesediaan mereka untuk mengambil bahagian dalam inisiatif hijau.

    Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berterima kasih kepada semua peserta dan menyatakan, “Kami amat menghargai sokongan masyarakat dalam menjayakan kempen kitar semula ini.

    “Sebanyak 60kg kertas yang dikitar semula adalah bukti apa yang boleh kita capai apabila kita bekerjasama ke arah matlamat kolektif ini bukan sahaja membantu mengurangkan sisa tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula dan penggunaan yang bertanggungjawab,” tambahnya.

    Melalui kempen ini, Bank Baiduri telah mengambil langkah penting untuk menyerlahkan kesan positif kitar semula di planet ini.

    Sebahagian daripada sampul raya yang dikumpul. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda