“Saya tidak mahu penonton hanya takut, tetapi mahu mereka berfikir.” Demikian kata Pengarah telefilem Bisikan Qarin, Ayie Mustafa mengenai naskhah terbarunya itu.
Menggabungkan unsur seram psikologi dan pengajaran rohani, menjadikannya karya berkenaan berbeza daripada kebiasaan genre keagamaan yang pernah dihasilkan kebanyakan stesen televisyen.
Bertemakan mengenai bisikan syaitan (qarin) yang menguji kekuatan iman manusia dengan pendekatan yang realistik namun tetap berpaksikan syariah.
Menurut Ayie, dia menumpukan kepada penceritaan beremosi dan visual sinematografi yang realistik, bagi menggambarkan perjuangan manusia melawan hawa nafsu dan bisikan jahat.
“‘Qarin’ dalam kisah ini bukan sekadar makhluk ghaib, tetapi simbol kepada bisikan dalaman yang selalu menjerumuskan kita ke jalan salah,” ujarnya menurut laporan Utusan Malaysia.

Biarpun kepuasan untuk mengarahkan babak seram sedikit terbatas disebabkan perlu mematuhi garis panduan stesen televisyen, namun Ayie tetap optimis dan berharap mesej yang disampaikan mudah diterima penonton.
“Kalau ikut kepuasan, saya memang nak buat lebih lagi untuk nampakkan setiap watak itu ‘hidup’.
“Tapi kita ada batas-batas yang perlu dipatuhi, kita perlu ikut dan akur dengan perkara itu.
“Mungkin selepas ini jika ada peluang lagi mengarahkan cerita berunsur seram, akan diberi sedikit kelonggaran, saya akan cuba lagi,” jelasnya.
Sementara itu, pelakon Ashraf Muslim yang sinonim dengan watak berjiwa besar mengakui telefilem itu memberi cabaran luar biasa kerana menuntut keseimbangan antara sisi spiritual dan emosi.
“Watak ini mengingatkan saya tentang ujian iman dalam diri manusia sendiri.
“Ia bukan sekadar lakonan, tetapi satu refleksi mengenai sejauh mana kita kuat melawan hasutan dalaman,” ujarnya. – Agensi

