SAN FRANCISCO – Ia bukanlah sebuah kedai biskut akan tetapi ia adalah sebuah bengkel, muzium dan gabungan pelbagai buah kelab menjadi satu. Sebanyak 15,000 produk biskut dibakar dengan menggunakan tiga buah mesin tradisi di mana kemudiannya dilipat dan dibungkus dengan menggunakan tangan setiap hari.
Manakala dinding bangunan tersebut dihiasi dengan lukisan mural, surat tahniah, piala dan sijil kemasyhuran. Pembeli dan peminat telah datang dari seluruh Amerika Syarikat dan juga di luar negara untuk merasa biskut tersebut yang mengandungi di dalamnya kata-kata motivasi dan inspirasi.
Media berpeluang menemu bual pemilik bengkel tersebut, Kevin Chan dan berkongsi mengenai sejarah perniagaan kecil itu yang telah secara rasmi berdaftar bersama Program Perniagaan Legacy San Francisco sejak tiga tahun yang lalu.
“Pelanggan akan sentiasa merasa berbaloi malah matlamat saya adalah untuk melayan orang ramai, menawarkan mereka hospitaliti dari China, mengajar mereka tentang budaya China sekali gus memperluaskannya khususnya terhadap golongan belia muda,” kata Chan yang dilahirkan di China, berhijrah ke Amerika Syarikat ketika dia berusia lapan tahun dan kemudian melakukan pelbagai pekerjaan sebelum bergabung bersama dengan perniagaan legenda keluarga yang diasaskan pada tahun 1962, di mana satu-satunya cawangan di daerah itu.
Bengkel Golden Fortune Cookie Golden Gate terletak di 56 Ross Alley di tengah-tengah Chinatown di San Francisco, di mana Kevin menemui matlamat dalam hidupnya yang sebenar.
Warisan turun temurun
Pada 1 Oktober ini, menandakan ulang tahun ke-70 penubuhan Republik Rakyat China, di mana dia merancang untuk menghantar sekitar 70 biskut tersebut dengan mesej supaya China akan lebih bertambah baik dan dilipat dengan begitu kuat untuk dihantar ke Beijing dan kampung halamannya di wilayah Guangdong untuk berkongsi bersama biskut-biskut tersebut.
“Inilah cara kami khususnya mereka yang berada di luar negara untuk meluahkan perasaan kami dalam acara yang istimewa,” katanya. Dia turut berkongsi bersama media Xinhua tentang bagaimana dia berkongsi bersama orang ramai tentang bagaimana membuat biskut itu secara langsung melalui Online.
Beberapa orang cuba mendekati Chan dan mencadangkan untuk memperkayakan lagi ideanya dengan memberikannya kaligrafi atau lukisan klasik. Dia baru-baru ini telah mendaftarkan ruang bawah tanah di bengkel tersebut khas untuk penulis tempatan, penyair, pelukis dan ‘caricaturists’ keturunan China untuk berkumpul, bertemu dan membincangkan tentang rancangan bagi memberikan pencerahan lagi terhadap komuniti China dalam perspektif budaya dan sejarah.
“Kami terus bergerak aktif setiap hari, semakin perlahan anda bergerak, semakin cepat anda akan mati,” katanya kepada media.
Chan juga merupakan pengasas bersama organisasi bukan berasaskan keuntungan, BeChinatown, yang telah menaja lampu-lampu tanglung merah untuk digantungkan di dua lorong berdekatan, sambil menambah akan terdapat lebih banyak elemen China akan dimasukkan ke dalam bangunan gaya Edward dan permukaan teater dari masyarakat setempat.
Pada tahun 2019, mereka telah menggantung tanglung merah di dua lorong yang lain. “Marilah kita sama-sama menyumbang kepada masyarakat kita, sedikit demi sedikit, tahun demi tahun,” katanya kepada media Xinhua.
Dari mulut ke mulut
Selain mengajar dan mendedahkan tentang sejarah budaya dan warisan, Chan juga diiktiraf secara meluas atas usahanya yang mengekalkan tradisi pembuatan biskut tersebut yang menggunakan tangan dan menjualnya secara borong ke kedai-kedai runcit. Strategi tersebut telah membantu perniagaan kecil mengakali pengeluar-pengeluar besar. Entiti warisan keluarga itu bukan lagi hanya sekadar kilang pengeluar, tetapi sebagai destinasi bagi pencinta sejarah dan budaya China serta sebagai lokasi untuk keluarga China bertemu.
“Kami bergantung kepada aliran trafik perjalanan kaki untuk sentiasa mantap, bertahan dan terkenal. Perkhabaran dari mulut ke mulut dan ulasan melalui Online serta gambar-gambar juga membantu pelanggan untuk datang ke sini,” tambah Chan bersama ibunya, Nancy Chan yang bekerja sehingga lewat malam untuk memproses pesanan para pelanggan.
Chan telah memboikot jualan secara online dan menegaskan kepada pelanggan untuk datang ke bengkelnya untuk melihat, merasakan sendiri, membeli dan mengubah corak perniagaan kepada secara langsung di kilang tersebut.
“Sekarang, kami bukan sahaja dalam perniagaan makanan, kami juga menyediakan perkhidmatan, di mana seseorang itu akan mempelajari tentang legenda dan cerita rakyat masyarakat China,” kata Chan, yang memujuk Nancy untuk setuju bahawa dia telah menggantungkan gambarnya sebaris dengan selebriti dan melukis satu potret besar wajahnya di dinding.
Walaupun dihormati sebagai salah seorang pemimpin komuniti China di Chinatown, namun Chan masih risau dan bimbang tentang masa depan bengkelnya itu. Program Warisan Legasi Bandar yang telah mendaftarkan perniagaan itu telah meluluskan pembayaran sebanyak AS$500 kepada pekerja sepenuh masa setiap tahun, tetapi dia hanya mempunyai tiga kakitangan separuh masa.
Harga bahan mentah seperti tepung, bijan, mentega, gula dan telur telah naik malah apa yang menyebabkan situasi menjadi lebih buruk ialah kadar sewa yang telah semakin meningkat sehingga memaksa dirinya untuk merancang berpindah. Selain itu, tidak ada seorang pun anaknya yang sanggup untuk mewarisi perniagaan keluarga tersebut. “Tetapi saya tidak akan berputus asa, kerana ini adalah lokasi di mana saya datang dan ke mana saya pergi,” tambah Chan. – Xinhua