Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bitcoin punca bekalan elektrik terputus, pencemaran

    TEHRAN, IRAN, 24 JAN – Ibu negara dan bandar besar Iran dilanda kegelapan dalam beberapa minggu ini apabila bekalan elektrik terputus meninggalkan jutaan penduduk tanpa elektrik berjam-jam lamanya.

    Dengan asbut toksik menyelubungi langit Tehran dan negara dibebani pandemik dan krisis lain, spekulasi telah tular dalam media sosial. Pihak berkuasa telah menyalahkan Bitcoin atas masalah yang dihadapi. Kerajaan dengan itu telah melancarkan tindakan keras terhadap pusat pemprosesan Bitcoin, yang memerlukan sejumlah besar elektrik untuk menjana komputer mereka serta menyejukkannya – justeru memberikan bebanan kepada grid tenaga Iran.

    Pihak berkuasa menutup 1,600 pusat di seluruh negara, termasuk untuk kali pertamanya, pusat yang dibenarkan beroperasi secara sah. Yang terbaharu dalam beberapa siri tindakan kerajaan, langkah itu mencetuskan kekeliruan dalam industri kripto, dan Bitcoin disyaki dipersalahkan atas masalah negara. Sejak bekas Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear Tehran dengan kuasa dunia pada 2018 dan mengenakan semula sekatan ke atas Iran, mata wang kripto telah menjadi semakin popular di Republik Islam itu.

    Bagi Iran, transaksi dalam talian untuk mata wang kripto membenarkan individu dan syarikat memintas sekatan perbankan yang telah melumpuhkan ekonomi. Bitcoin menawarkan alternatif kepada wang kertas oleh kerajaan dan bank pusat, dan dalam kes Iran dan negara lain dikenakan sekatan seperti Venezuela, menjadi tempat yang lebih stabil untuk menyimpan wang berbanding mata wang tempatan. Iran adalah antara 10 negara teratas dunia dengan kapasiti penjanaan Bitcoin terbanyak – 450 megawat sehari. Rangkaian AS mempunyai kapasiti harian sebanyak lebih 1,100 megawat. – AP

    Pencemaran udara kelihatan di langit Tehran, Iran. Bitcoin telah dituduh punca masalah bekalan elektrik terputus dan pencemaran di Iran. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda