BJ Habibie selamat dikebumikan

JAKARTA, 12 SEPT – Bekas presiden ketiga Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau BJ Habibie selamat di-semadikan di Taman Makam Pahlawan, Kalibata di Jakarta dengan penuh istiadat pemakaman ketenteraan.

Ribuan penduduk Indonesia yang berkabung memenuhi jalan-jalan di ibu kota negara itu, bagi menyaksikan upacara perarakan pengebumian BJ Habibie ke makam berkenaan.

Istiadat pemakaman itu dihadiri Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Turut hadir 700 ahli politik, pegawai-pegawai kerajaan, diplomatik asing termasuk bekas presiden kelima Indonesia, Megawati Soekarnoputri dan presiden keenam, Susilo Bambang Yudhoyono.

BJ Habibie meninggal dunia jam 6.05 petang semalam di Rumah Sakit (Hospital) Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya.

BJ Habibie, 83, merupakan presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.

Jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan pusara isterinya, Hasri Ainun Besari atau Ainun Habibie, yang meninggal dunia pada 22 Mei 2010.

Kerajaan negara itu telah mengisytiharkan hari berkabung kebangsaan selama tiga hari.

Sementara itu, para pemimpin negara-negara luar juga turut menghantar perutusan takziah kepada kerajaan itu termasuk Amerika Syarikat dan Kedutaan British di Jakarta. – AP

Presiden Indonesia Joko Widodo meletakkan kalungan bunga di pusara allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie semasa pengebumian negara mantan presiden ketiga Indonesia itu di Kalibata, Jakarta. – AP