Monday, July 14, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    BKISHHB anjur persidangan sejarah penulisan Islamik di Brunei

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Peserta Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam (ICIM) 2025 berpeluang mengikuti sebuah pembentangan bertajuk Islamic Writing Traditions of Brunei Darussalam: On Stone, Metal and Paper yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Asia Tenggara, The British Library, London, Yang Berbahagia Dato’ Dr Annabel Teh Gallop di Dewan Auditorium Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BKISHHB, di sini, menyatakan hadir sebagai tetamu kehormat pada pembentangan berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.

    Yang Berbahagia Dato’ Dr Annabel Teh Gallop dilahirkan di Winchester pada 5 Ogos 1961 dan dibesarkan di Negara Brunei Darussalam. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Matematik dari University of Bristol (1982) diikuti dengan Ijazah Sarjana dengan kepujian tinggi dalam Pengajian Indonesia dan Melayu dari School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London (1985).

    Pada 2002, beliau menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di SOAS dengan disertasi berkaitan cap mohor Melayu, yang memfokuskan kepada epigrafi Islam dari Asia Tenggara.

    Beliau kini menjawat jawatan sebagai Ketua Kurator, Bahagian Asia Tenggara di British Library, London dan merupakan pakar terkemuka dalam bidang manuskrip Melayu, cap mohor Islam serta budaya material dunia Islam di Asia Tenggara.

    Sejak 1986, beliau berkhidmat di British Library dan bertanggungjawab dalam menyelenggara koleksi Asia Tenggara yang tersohor di peringkat antarabangsa.

    Antara penerbitan utama beliau termasuk Malay Seals from the Islamic World of Southeast Asia: Content, Catalogue; From Anatolia to Aceh: Ottomans, Turks and Southeast Asia; Lasting Impressions: Seals from the Islamic World; The Legacy of the Malay Letter dan Golden Letters: Writing Traditions of Indonesia.

    Dr Gallop juga telah mengetuai beberapa projek akademik penting seperti projek penyelidikan tajaan British Academy bertajuk Islam, Trade and Politics across the Indian Ocean dan turut aktif menyampaikan syarahan di pelbagai institusi di seluruh dunia.

    Sebagai Felo kepada British Academy, beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Darjah Setia DiRaja Kedah, Anugerah Kebudayaan dari Indonesia serta Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dari Universiti Malaysia Terengganu.

    Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam yang bertemakan Manuskrip Islam: Jambatan Antara Masa Lalu Dan Masa Depan diadakan dari 21 hingga 24 Jun dan dianjurkan oleh BKISHHB dengan kerjasama UNISSA, UBD dan KUPUSB.

    Ia juga diadakan bersempena dengan Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun Brunei 2025 (BRUNEI-MYCE 2025).

    Persidangan berkenaan bermatlamat untuk memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan manuskrip Islam sebagai jambatan yang menghubungkan warisan intelektual dan budaya dari masa lalu dengan masa hadapan umat Islam.

    YB Dato’ Dr Annabel Teh Gallop semasa menyampaikan pembentangan.
    YB Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi  hadir selaku tetamu kehormat ke persidangan berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN BKISHHB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda