Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) menerima kunjungan daripada mantan Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI), Jenderal Dato Paduka Seri Andika Perkasa.
Beliau berada di negara ini untuk menghadiri Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.
Jenderal Dato Paduka Seri Andika Perkasa serta rombongan seramai 12 orang memulakan lawatan dengan menandatangani lembaran kenangan dan diikuti dengan penyerahan cenderahati oleh Pemangku Pengarah BKISHHB, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad kepada mantan Panglima TNI.
Rombongan kemudiannya beredar ke galeri pameran BKISHHB dan mengakhiri sesi lawatan dengan sesi bergambar ramai.
Galeri-galeri pameran di BKISHHB telah dibukakan semula untuk kunjungan orang ramai bermula 12 Disember lalu, mulai 9 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Jumaat.
Antara bahan pameran yang menarik dalam sembilan galeri pameran tersebut, termasuk koleksi-koleksi mushaf pelbagai bentuk dan ukuran, rambut Rasulullah SAW, cebisan burdah Rasulullah SAW serta replika kesan tapak kaki, pedang-pedang dan tongkat Rasulullah SAW, koleksi pelbagai manuskrip Islam, peralatan astronomi Islam, tongkat, tasbih, fosil dan banyak lagi.
Maklumat-maklumat mengenai tiket masuk boleh diperoleh dengan mengunjungi kaunter-kaunter tiket di BKISHHB, atau dengan melayari laman sesawang rasmi www.bkishhb.gov.bn dan mengikuti Facebook di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Instagram BKISHHB.BN untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.
BKISHHB merupakan manifestasi hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memelihara khazanah cendekiawan Islam dengan menggiatkan pengembangannya melalui aktiviti pengumpulan, pemeliharaan, pengkajian, pameran, penyebaran, penyelidikan serta mengongsikan natijahnya bagi kemajuan Islam dan umat seumumnya serta menjadikannya destinasi pelancongan Islam sehenti.



