Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Rahwani Zahari
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali merasakan impak daripada cengkaman dadah haram yang dihadapi oleh seluruh dunia tetapi di negara ini, situasi dadah masih dalam keadaan yang terkawal.
Ini adalah hasil kerjasama padu semua pihak yang menyahut pendekatan Whole of Nation Approach, jelas Pemangku Pengarah Biro Kawalan Narkotik (BKN), Haji Mohd Jaffari bin Haji Mahdi dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram di BKN, kelmarin.
Beliau seterusnya menekankan bahawa penyalahgunaan dadah bukan saja membawa kesan buruk terhadap kesihatan, malah merosakkan kehidupan pengguna dadah dan orang-orang yang tersayang di sekeliling.
Beliau seterusnya berharap supaya generasi muda akan membuat pilihan yang bijak dan tepat untuk tidak terlibat dengan gejala dadah yang boleh menjejaskan masa depan.
BKN sebagai agensi utama dalam pembanterasan dadah di negara ini, jelasnya, akan terus komited untuk memerangi apa jua bentuk aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta akan sentiasa bersedia untuk berkhidmat bagi kesejahteraan dan keselamatan negara.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/06/page-4-C_29062020.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/06/page-4-A_29062020.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/06/page-4-B_29062020.jpg)
Menyentuh mengenai tema Hari Dadah Sedunia 2020, Pengetahuan yang Lebih Baik untuk Penjagaan yang Lebih Baik adalah bagi mengimbangi keperluan semasa dalam memberikan penjelasan berhubung usaha-usaha menangani masalah dadah yang selama ini telah ‘dibelenggu’ oleh maklumat yang kurang tepat dan tersasar daripada apa yang sepatutnya dalam berbagai bentuk.
Pada majlis itu, Haji Mohd Jaffari turut melancarkan video Taklimat Insta dan Kuiz Pendidikan Pencegahan Dadah.
Penolong Pengarah Ketua Cawangan Pendidikan Pencegahan Dadah, Hajah Latipah binti Haji Mohd Ali dalam ucapannya menjelaskan, sambutan berkenaan merupakan projek tahunan BKN yang dikendalikan oleh Cawangan Pendidikan Pencegahan Dadah pada 26 Jun setiap tahun.
Menurut beliau, melihat kepada keadaan pada masa ini, BKN melalui Cawangan Pendidikan Pencegahan Dadah menangguhkan semua perancangan aktiviti yang telah disusun lebih awal.
“BKN telah mengambil pendekatan dengan beralih kepada pemerkasaan media sosial sebagai alternatif menyambut Hari Dadah Sedunia pada tahun ini,” jelasnya.
Video taklimat Insta dan Kuiz Pendidikan Pencegahan Dadah berkenaan bertujuan untuk memberikan pengetahuan yang berterusan dan tepat kepada orang ramai berhubung maklumat semasa berkenaan penyalahgunaan dadah.
BKN seterusnya berharap apa yang diusahakan ini akan dapat menembusi semua golongan sasar dan menarik perhatian mereka untuk melayari media sosial Cawangan Pendidikan Pencegahan Dadah bagi mengikuti info semasa BKN dan menjadikan Instagram dan Facebook rasmi BKN sebagai saluran mendapatkan ilmu pengetahuan.
Beliau seterusnya mengumumkan, tiga video taklimat akan dimuat naik setiap minggu dan penyampai taklimat terdiri daripada pegawai-pegawai dari Cawangan Pendidikan Pencegahan Dadah sendiri dengan topik-topik berlainan.
Di samping itu, soalan kuiz turut dibukakan bagi penyertaan orang ramai dengan syarat dan terma yang telah ditetapkan dan setiap video akan ada jawapan bagi setiap kuiz yang disediakan.
“Pelancaran dua produk BKN ini adalah bertepatan dengan tema sambutan tahun ini yang mana ia mengajak semua orang untuk berilmu pengetahuan dari sumber yang tepat,” tambahnya.