Tuesday, July 22, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BKN tangkap 35 individu dalam Operasi Tokek

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Seramai 35 orang telah ditangkap oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) dalam Operasi Tokek yang dijalankan bermula 29 Jun hingga 14 Julai lalu.

     Menurut kenyataan BKN, operasi tersebut telah menahan 25 warga tempatan, sembilan penduduk tetap dan seorang warga asing yang berusia dalam lingkungan umur 17 hingga 59 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

    Kenderaan yang dirampas oleh BKN semasa Operasi Tokek. – Gambar serahan BKN

    Sasaran operasi menumpu beberapa lokasi berasingan di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait dengan majoriti tangkapan berlaku di Jalan Nenas Sanggol, Kampung Katok.

    Hasil operasi ini telah merampas empat jenis dadah terkawal iaitu 38.67 gram syabu, 9.2 gram ganja, 0.69 gram ekstasi dan 0.27 gram erimin 5.

    Turut dirampas adalah wang tunai dipercayai hasil dari kegiatan pengedaran dadah berjumlah $1,156 dan SGD2, sebuah kenderaan dipercayai hasil dari kegiatan pengedaran dadah, peralatan untuk membungkus dadah seperti gunting, paket lutsinar kecil dan alat timbangan digital dan alat perkakas untuk menyalahgunakan dadah.

    Antara barangan yang dirampas.

    Sementara itu, dua orang tangkapan telah ditahan di Pos Kawalan Sungai Tujoh, Daerah Belait kerana didapati menyeludup dadah masuk ke negara ini.

    Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 5, Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 atas kesalahan membawa masuk dadah terkawal.

    Manakala, empat orang tangkapan akan disiasat di bawah Seksyen 3A, Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar.

    Kumpulan pengedaran dadah ini didalangi oleh seorang warga tempatan berumur 27 tahun yang mempunyai beberapa orang suruhan untuk membantu menjalankan penyeludupan dan pengedaran dadah, termasuk golongan di bawah umur.

    Antara yang terlibat dalam rangkaian ini ialah sebuah keluarga yang mempunyai peranan yang berbeza.

    Siasatan juga mendapati sebahagian daripadanya telah menyalahgunakan elaun bantuan kebajikan bulanan yang diterima sebagai modal dalam kegiatan jual beli dan pengedaran dadah.

    Kumpulan ini juga diketahui mengutamakan pelanggan dalam kalangan warga asing bagi mengaburi kegiatan mereka.

    Operasi tersebut merupakan usaha berterusan BKN dalam membanteras kegiatan jenayah di kawasan Jalan Nenas Sanggol yang dikenal pasti sebagai salah satu hotspot penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta kegiatan jenayah lainnya.

    Dengan ini, BKN menegaskan bahawa pihaknya akan sentiasa menjalankan tugas-tugas pembanterasan dadah dan menyasarkan pengedar dadah yang terus menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan penduduk setempat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda