KUALA LUMPUR, 29 Nov – Syarikat risikan media global, Meltwater, mendapati lebih lapan daripada 10 atau 82.92 peratus perbualan dalam talian ditumpukan kepada Black Friday dan Cyber Monday sebagai reaksi kepada jualan Singles’ Day, Black Friday dan Cyber Monday.
Pengarah Kawasan Meltwater Jepun dan Asia Tenggara, Neil Brennan berkata, walaupun jualan Singles’ Day mencatat nilai tertinggi iaitu AS$25.3 bilion, tetapi Black Friday dan Cyber Monday yang menguasai perbualan media sosial di Singapura, Malaysia dan Indonesia.
“Peningkatan Singles’ Day dalam beberapa tahun kebelakangan ini amat menakjubkan, memecah rekod setiap tahun dan menarik minat dari seluruh dunia. Walapun jelas pengguna China berbelanja dan bercakap mengenai Singles’ Day, perbelanjaan besar dan perbualan tinggi di China nampaknya tidak berlaku di pasaran lain di Asia Tenggara.
“Black Friday dan Cyber Monday masih tetap berlaku, menonjolkan fakta bahawa pasaran-pasaran ini belum ditembusi sepenuhnya oleh fenomena China,” katanya dalam satu kenyataan. – Bernama
