Muncul dengan muzik video terbaharu lagu Sabar, penyanyi Black Hanifah membawa jalan cerita berbeza apabila tampil membawakan watak seorang lelaki berstatus duda.
Black atau nama sebenar Hanifah Md Hanafiah, 33, berkata, ia merupakan sesuatu perkara baharu daripada dirinya yang tidak pernah melalui perkara itu.
“Sebenarnya kalau didengar dengan teliti lagu ini bukanlah untuk duda sahaja, boleh jadi macam-macam seperti pasangan bercinta, suami dan isteri atau ibu tunggal.
“Tapi bagi muzik video ini saya sengaja mengangkat kisah seorang duda mempunyai anak bercinta dengan seorang wanita, namun malangnya kekasihnya itu tidak mahu menerima anaknya dalam hubungan mereka.
“Kisah ini berlaku dalam masyarakat dan saya ingin paparkan yang mana tidak salah seorang duda untuk berkahwin lagi tapi tak semua lalui pengalaman indah,” ujarnya.
Video muzik (MV) tersebut telah dilancarkan di saluran YouTube pada minggu ini dan kini sudah mencecah hampir 5,000 tontonan.
Berkongsi pengalaman menjalani penggambaran muzik video itu, Black berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah kerana semua yang dirancang berjalan lancar.
“Sejujurnya tiada masalah pun sepanjang penggambaran muzik video ni. Pelakon wanita dan kanak-kanak membawakan watak mereka dengan baik.
“Walaupun saya tak pernah bawa watak sebegini tapi ia tidak mudah dan tidak juga susah,” ujarnya.
Dalam pada itu, berkongsi pendapat tentang kepentingan sesebuah muzik video untuk mempromosikan lagu, Black berkata, sesebuah karya lagu itu perlu berkualiti terlebih dahulu.
Bagaimanapun, Black tidak menolak jumlah tontonan YouTube memberi pendapatan kepada seseorang artis dan syarikat rakaman.
“Kalau tanya pendapat saya, jumlah tontonan itu penting untuk pendapatan di YouTube, tetapi bagi saya kualiti lagu adalah segalanya.
“Jika tontonan tak banyak tetapi masih dipanggil kemana-mana untuk menyampaikan lagu tu, ia sudah memadai,” ujarnya. – Agensi