FILEM aksi adiwira terbitan Disney dan Marvel, Black Panther terus cemerlang apabila berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$108 juta hasil tayangan dari 4,020 pawagam sekaligus mendominasi carta.
Sehingga kini, Black Panther yang dibintangi oleh Chadwick Boseman itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$400 juta hanya bagi pasaran domestik yang berjaya dikutip dalam tempoh tayangan selama 10 hari.
Secara purata, kutipan filem ke-18 yang diadapatasi dari siri komik Marvel Cinematic Universe itu menurun sebanyak 46 peratus berbanding minggu lalu.
Walaupun kutipan yang diperolehi oleh Black Panther itu agak tinggi namun ia tetap dianggap tidak berjaya untuk mengatasi kutipan yang diperolehi oleh Star Wars: The Force Awakens yang berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$149 juta pada minggu kedua tayangannya pada tahun 2015.
Namun, prestasi yang ditonjolkan oleh Black Panther boleh dianggap sebagai sesuatu membanggakan apabila berjaya mengatasi kutipan sebanyak AS$106.6 juta yang diperoleh hasil tayangan Jurassic World pada tahun 2015 dan AS$103 juta hasil tayangan The Avengers pada tahun 2012.





Filem Black Panther arahan Ryan Coogler ini juga turut dibintangi oleh Michael B. Jordan, Lupita Nyong’o, Danai Gurira, Martin Freeman, Daniel Kaluuya dan Letitia Wright.
Antara faktor yang mendorong kepada kejayaan filem ini adalah apabila 97 peratus daripada penontonnya menyatakan bahawa karya yang ditampilkannya adalah segar dan berbeza daripada kebanyakan filem adiwira lain.
Laporan daripada skor ComScore PostTrack-Screen Engine pula memperlihatkan bahawa 69 peratus daripada penonton filem ini memberikan komen bahawa aksi yang ditonjolkan adalah pada tahap cemerlang dan 23 peratus pula mengatakannya pada tahap baik.
“Black Panther merupakan filem terbaik bagi tayangan pada bulan Februari di mana ia dilihat seolah-olah mengulangi kejayaan Deadpool yang ditayangkan pada bulan sama pada tahun 2016. Dengan kutipan setinggi AS$400 juta yang berjaya dikutip dalam tempoh 10 hari setentunya ia adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan,” jelas Penganalisis Kanan Media di comScore, Paul Dergarabedian.
Menurut comScore, kutipan hasil tayangan dari Black Panther dan Jumanji: Welcome to the Jungle telah berjaya meningkatkan jualan tiket sebanyak 12.5 peratus bagi tayangan filem di bulan Februari.
Game Night lakonan Jason Bateman dan Rachel McAdams pula menduduki tangga kedua dengan jumlah kutipan sebanyak AS$16.6 juta hasil tayangan dari 3,488 pawagam.
Filem arahan John Francis Daley dan Jonathan Goldstein terbitan Warner Bros dan New Line itu mengisahkan mengenai sesuatu misteri pembunuhan yang berlaku tatkala sepasang kekasih asyik merancang untuk menonton acara kegemaran mereka.
Manakala, Peter Rabbit yang merupakan sebuah filem komedi terbitan Sony pula akur menduduki tangga ketiga dengan jumlah kutipan sebanyak AS$12.5 juta hasil tayangan dari 3,707 pawagam.
Secara purata, filem komedi yang sesuai menjadi tontonan seisi keluarga ini telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$71.3 juta hasil tayangan selama 17 hari.
Annihilation, sebuah filem sains fiksyen terbitan Paramount pula menduduki tangga keempat dengan jumlah kutipan sebanyak AS$11 juta hasil tayangan dari 2,102 pawagam.
Filem yang menelan kos perbelanjaan setinggi AS$40 juta itu menampilkan lakonan hebat barisan pelakon wanita seperti Natalie Portman, Jennifer Jason Leigh, Tessa Thompson dan ramai lagi.
Ia mengisahkan mengenai sekumpulan ahli biologi wanita yang melakukan sebuah kembara ekspedisi dan terperangkap dalam satu situasi bahaya yang boleh mengancam nyawa mereka.
Fifty Shades Freed pula menduduki tangga kelima dengan jumlah kutipan sebanyak AS$6.9 juta hasil tayangan di 3,265 pawagam.
Secara purata, filem romantik itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$89 juta hasil tayangan selama 17 hari.